?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

PALAPES Bentuk Generasi Sehati Sejiwa, Inspirasi Buat Mahasiswa Baharu

 

SERDANG, 13 September 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini melakar sejarah apabila menjadi tuan rumah kepada Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) ke-43, yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

 

Seramai 1,927 Pegawai Kadet PALAPES daripada 20 universiti awam seluruh negara ditauliahkan sebagai Leftenan Muda, meliputi 1,098 pegawai di Rejimen Askar Wataniah (RAW), 431 pegawai dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dan 398 pegawai dalam Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

 

Majlis turut menyaksikan penganugerahan Pedang Kehormat kepada 39 Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap perkhidmatan. Anugerah berprestij ini menjadi simbol pengiktirafan kepada ketabahan, kepimpinan dan kecemerlangan pegawai kadet sepanjang tempoh latihan yang mencabar, sekali gus mengiktiraf mereka sebagai teladan kepada rakan seperjuangan serta inspirasi kepada generasi muda lain yang bakal menyusul.

 

 

Naib Canselor UPM, Kolonel Kehormat Dato' Profesor Ir Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam kenyataannya berkata, kejayaan para pegawai muda ini bukan sahaja menyerlahkan disiplin dan keteguhan semangat mereka dalam latihan ketenteraan, malah menjadi cerminan kepada generasi baharu yang bersatu hati demi keselamatan dan kedaulatan negara.

 

“Megah dan segak dalam perbarisan, mereka bukan sahaja dilatih dengan disiplin ketenteraan, tetapi juga dengan jiwa sehati sejiwa sebagai leftenan muda yang memberi harapan untuk masa hadapan negara,” katanya.

 

“Kami berbangga menyaksikan anak muda daripada pelbagai kaum, latar belakang geografi dan sosioekonomi bergerak dalam satu pasukan yang senada seirama,” tambah beliau.

 

 

Beliau menambah, kepelbagaian latar belakang pelajar yang menyertai PALAPES membentuk pengalaman pembelajaran dan kehidupan yang bermakna, sekali gus menyediakan mereka untuk mendepani cabaran masa hadapan serta memastikan kelangsungan perpaduan dan kesejahteraan negara dan dunia.

 

Istiadat penuh gilang-gemilang itu ditutup dengan bacaan Ikrar Taat Setia Perwira sebagai simbol iltizam pegawai muda PALAPES untuk terus berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air.

WYJNUAb~