?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Pengorbanan Ibu Jadi Sumber Kekuatan, Hidayatun Rangkul Pingat Emas Alumni

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

SERDANG, 3 Disember - “Saya tidak sangka segala jatuh bangun, susah senang akhirnya diiktiraf setinggi ini,” kata Hidayatun Nufus Abd Gafor, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), yang menerima Anugerah Pingat Emas Alumni sempena Majlis Konvokesyen Ke-49.

 

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu merupakan satu-satunya yang merantau ke Semenanjung untuk melanjutkan pengajian, meninggalkan keluarga di Tawau demi mengejar impian akademik. Dalam keluarganya, hanya dua orang yang berpeluang menjejakkan kaki ke menara gading, manakala kakak dan abang lain terpaksa berhenti sekolah lebih awal untuk membantu ibu menyara keluarga.

 

Hidayatun kehilangan ayah sejak kecil dan tidak pernah menetap bersamanya kerana ibu bapa berpisah ketika beliau berusia dua tahun.

 

“Sejak itu, kasih sayang ibu serta bimbingan arwah datuk dan nenek menjadi tulang belakang dalam membentuk ketabahan dan disiplin hidup saya.

 

“Kasih sayang mereka mengajar saya erti berdikari dan menghargai setiap peluang yang ada,” katanya.

 

Sebagai anak perantau, cabaran terbesar bukan sekadar jarak, tetapi juga tekanan emosi dan kekangan kewangan. Sepanjang tujuh tahun pengajian, bermula dari peringkat diploma di UPM Kampus Bintulu hingga ke ijazah di Serdang, beliau hanya mampu pulang ke Sabah pada musim Hari Raya.

 

“Memang ada rasa sunyi dan rindu keluarga, tetapi setiap pengorbanan itulah yang membentuk kekuatan diri. Saya belajar berdikari, mengurus emosi sendiri dan mencari ruang untuk terus berkembang di perantauan,” ujarnya.

 

Hidayatun berkata, keputusan memilih UPM bukan satu kebetulan, sebaliknya dibuat dengan penuh pertimbangan.

 

“Saya yakin dengan reputasi akademik UPM, persekitaran yang berdisiplin dan peluang luas untuk membina kemahiran insaniah.

 

“Saya perlukan tempat yang bukan sahaja mendidik dari segi akademik, tetapi juga membentuk karakter sebagai individu,” jelasnya.

 

Menurutnya, Anugerah Pingat Emas Alumni bukan sekadar pengiktirafan peribadi, sebaliknya simbol pengorbanan keluarganya, khususnya ibunya yang membesarkan sembilan orang anak secara bersendirian.

 

“Anugerah ini sebenarnya milik ibu kerana dialah yang membesarkan kami sembilan beradik seorang diri, menanggung segala kekurangan tanpa mengeluh.

 

“Bila saya naik ke pentas, apa yang saya nampak adalah pengorbanannya,” ujarnya dalam nada sebak.

 

Kini, berbekalkan latar belakang dalam bidang komunikasi, Hidayatun memulakan kerjaya dalam sektor media dan komunikasi strategik sebagai Personel MySTEP di Jabatan Komunikasi, Kementerian Komunikasi, dengan peranan menguruskan media sosial dan hebahan.

WYMEOAp~