
Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
SERDANG, 29 Okt - Universiti Putra Malaysia (UPM) memperteguh peranannya sebagai pusat keilmuan yang memartabatkan warisan dan peradaban bangsa dengan menganjurkan Simposium Antarabangsa Komunikasi Warisan 2025, anjuran Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.
Program berprestij bertemakan “Khazanah Warisan Cerminan Peradaban Bangsa” itu menghimpunkan sarjana, penyelidik, pengamal serta pakar warisan dari dalam dan luar negara bagi membincangkan pelbagai perspektif keilmuan tentang khazanah dan kearifan Melayu dalam konteks global semasa.
Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, yang menyampaikan ucaptama bertajuk “Khazanah Warisan Cerminan Peradaban” berkata, warisan bukan sekadar pusaka fizikal, tetapi jiwa yang merentasi zaman serta nadi yang menghidupkan kesedaran bangsa.

“Walaupun tema ini kelihatan sederhana namun mengandungi makna yang amat dalam yabg mempersoalkan apakah yang sebenarnya kita warisi, dan dijadikan cerminan bagi membentuk perasaan bangsa.
“Melalui warisanlah kita mengenal siapa diri kita, dari mana datangnya makna kemanusiaan, dan ke mana arah peradaban ini ingin dibawa,” katanya.
Selain itu, beliau turut melawat tapak pembinaan Rumah Tradisional Negeri Selangor di Muzium Warisan Melayu, FBMK, UPM, serta menzahirkan penghargaan terhadap usaha UPM memelihara nilai estetika dan falsafah Melayu melalui pendekatan ilmiah dan komunikasi warisan.

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, berkata simposium ini memperlihatkan komitmen universiti sebagai peneraju ilmu yang bukan sahaja melestarikan warisan, tetapi juga mengangkatnya ke peringkat antarabangsa sebagai lambang keunggulan tamadun Melayu.
“Usaha ini mengkomunikasi kebijaksanaan generasi terdahulu yang memanfaatkan alam dan persekitarannya dengan penuh hemah. Nilai ini bukan sekadar sejarah, tetapi panduan untuk membina masa depan yang berteraskan kearifan tempatan,” katanya.
Dekan FBMK, UPM, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim, berkata simposium ini memperkukuh peranan fakulti dalam memperluas disiplin komunikasi warisan di peringkat global.
“Kami mahu khazanah Melayu tidak hanya dilihat sebagai artifak yang dipamerkan, tetapi sebagai sumber ilmu, makna dan falsafah bangsa. Malah, kami turut memberi tumpuan kepada pengupayaan media baharu sebagai medium utama memperagakan kearifan tempatan agar warisan Melayu terus hidup dan relevan dalam konteks dunia moden,”katanya.

Dalam pada itu, penganjuran Simposium Antarabangsa Komunikasi Warisan ini menandakan usaha berterusan UPM dalam mempertautkan tradisi dan teknologi serta memperlihatkan bagaimana komunikasi warisan dapat dijadikan jambatan antara ilmu, budaya dan kemanusiaan sejagat.






