?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

UPM Cadang Lebih Banyak Laluan Basikal, Contohi Usaha Lestari Poland

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin






SERDANG, 16 Jun
– Malaysia perlu memperbanyakkan penyediaan laluan basikal sebagai langkah ke arah menjadikan budaya berbasikal satu amalan harian yang menyumbang kepada kesihatan, kelestarian alam sekitar dan peningkatan kualiti hidup rakyat.

Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof berkata negara ini mempunyai potensi untuk mencontohi kejayaan Poland dalam membudayakan penggunaan basikal, sekiranya infrastruktur dan dasar yang menyokong disediakan dengan lebih menyeluruh.




“Malaysia wajar mengambil inspirasi daripada Poland dalam memperluas jaringan infrastruktur dan dasar yang menyokong penggunaan basikal bukan sahaja untuk tujuan rekreasi, tetapi juga sebagai mod pengangkutan harian yang lebih mampan, mampu milik dan mesra alam,” katanya sempena sambutan Hari Basikal Sedunia di Galeri Serdang, FRSB UPM , hari ini.

Sambutan tersebut dianjurkan dengan kerjasama Kedutaan Poland di Kuala Lumpur dan menampilkan kehadiran istimewa Prof. Leszek J. Sibilski, tokoh yang mengilhamkan Hari Basikal Sedunia yang telah diiktiraf sebagai resolusi rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2018.

Beliau berkata, program seperti ini diharapkan dapat merangsang minat masyarakat Malaysia terhadap penggunaan basikal sebagai gaya hidup sihat, selain membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara FRSB UPM dan Kedutaan Poland dalam meneroka inisiatif kelestarian dan pendidikan komuniti.

“Kami berharap sambutan ini bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya menjadi titik mula kepada usaha memperluas budaya berbasikal di Malaysia, selari dengan aspirasi pembangunan mampan,” katanya.


''Penganjuran ini juga mencerminkan komitmen UPM dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) serta memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa dalam bidang kelestarian dan reka bentuk bandar, ujarnya.

WYGSDA5~