?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

UPM Perkenal Indeks Relevan Perpustakaan (IRP), perkukuh fungsi akademik

 

SERDANG, 23 Julai - Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar sejarah baharu apabila melancarkan Indeks Relevan Perpustakaan (IRP) bagi memperkukuh peranan perpustakaan akademik dalam landskap pendidikan tinggi semasa.

 

IRP yang diilhamkan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah ini bertujuan untuk memastikan PSAS kekal relevan dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Kerangka True North UPM yang menekankan perkhidmatan melangkaui jangkaan pengguna.

 

Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan berkata, IRP merupakan pendekatan proaktif dalam menghadapi cabaran ekosistem pendidikan tinggi yang semakin kompleks.

 

“Pembangunan indeks ini menunjukkan kesungguhan PSAS untuk sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ilmu dan kepenggunaan tanpa perlu mencipta metrik baharu dari semasa ke semasa,” katanya.

 

Beliau turut menyeru agar pustakawan UPM sentiasa peka dan bersedia menjalani proses unlearn, relearn dan co-learn demi memainkan peranan sebagai pemangkin ilmu dan agen perubahan.

 

 

“Perpustakaan perlu diangkat menjadi guardian of wisdom and knowledge yang bukan sahaja menjadi pusat rujukan universiti, malah mampu membina jaringan rujukan antarabangsa,” katanya.

 

Ketua Pustakawan PSAS, UPM, Mahbob Yusof, berkata pelancaran IRP merupakan satu titik tolak penting dalam memperkukuh fungsi perpustakaan akademik secara menyeluruh.

 

“IRP adalah metrik multidimensi yang mengukur keselarasan perpustakaan dengan keperluan akademik universiti secara holistik, tidak terhad kepada bilangan koleksi semata-mata,” katanya.

 

Tambah beliau, inisiatif ini memberi cabaran baharu kepada warga perpustakaan untuk berganjak daripada metrik tradisional kepada pendekatan lebih inklusif yang menjurus kepada pendidikan, inovasi dan ekuiti sejagat.


“IRP dibangunkan berasaskan lima teras utama iaitu sokongan terhadap penyelidikan dan kesarjanaan, koleksi yang relevan, teknologi dan inovasi, kepuasan serta keterlibatan pengguna, serta kolaborasi dan impak global,” katanya.

WYHYAAs~