Serdang, 28 April – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing®?) UPM menerima kunjungan delegasi Sekretariat Forum Ahli Parlimen Negara Asia Mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD) dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau berkaitan isu penduduk dan pembangunan mampan.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata, UPM bersedia menjalinkan kerjasama strategik dengan AFPPD dalam melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi, khususnya ke arah mewujudkan negara penuaan yang sihat, aktif dan produktif.
“Kerjasama ini bakal membuka ruang penyelidikan merentas sempadan dan memperkukuh jaringan saintifik demi manfaat komuniti warga emas di Asia dan negara-negara Global Selatan,” katanya.
Lawatan ini diketuai oleh Setiausaha Agung baharu AFPPD, YB Howard Lee Chuan How, yang menyatakan komitmen Malaysia untuk bekerjasama erat dengan negara anggota AFPPD dalam memajukan Program Tindakan Persidangan Antarabangsa Mengenai Penduduk dan Pembangunan (ICPD) serta mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Pengarah MyAgeing®?, Prof. Madya Dr. Rahimah Ibrahim dalam sesi taklimatnya menekankan keperluan mendesak untuk dasar yang lebih bersepadu dan pelaburan dalam infrastruktur penjagaan.
“Rantau Asia kini berdepan lonjakan populasi warga emas yang disertai dengan perubahan struktur keluarga dan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan formal dan tidak formal.
“Oleh itu, sokongan kepada penjaga dan pembangunan sistem penjagaan yang mapan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif,” ujar beliau.
Malaysia turut diumumkan sebagai tuan rumah baharu Sekretariat AFPPD, menggantikan Jepun. UPM berbesar hati memainkan peranan aktif dalam menyokong pelaksanaan agenda AFPPD, khususnya dalam memperkukuh dasar berkaitan penduduk dan pembangunan di rantau ini.