Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari
SERDANG, 9 Jun – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah menerima kunjungan hormat delegasi Honghe University dari Yunnan, China yang diketuai oleh Pengerusi Majlis Universiti, Tuan Hong Bo di Bangunan Canselori Putra, hari ini.
Pertemuan ini membincangkan potensi kerjasama strategik antara UPM dan Honghe University dalam bidang akademik dan penyelidikan yang merangkumi ilmu tradisional tidak ketara, pembangunan produk baharu, pemasaran serta penglibatan industri.
Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan berkata, cadangan kolaborasi yang diketengahkan bukan sahaja melibatkan dua hala tetapi turut membuka peluang kepada penglibatan pelbagai pihak termasuk industri, sekali gus menyokong usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.
“Sekarang ini, kita banyak mengimport makanan ternakan dari luar negara. Dengan adanya kerjasama seperti ini, kita harap dapat fikirkan cara untuk memperbaiki tahap sekuriti makanan di Malaysia,” katanya.
Antara bentuk kerjasama yang dibincangkan termasuklah projek Purple Pottery Living Culture, iaitu warisan berusia 1,001 tahun yang mula dikenali semasa zaman Dinasti Ming, tanaman herba ubatan tradisional untuk Asia Pasifik, dan menyelaras pelaksanaan inisiatif bersama.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Zamberi Sekawi, Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Senibina (FRSB), Prof. Madya Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof, Profesor Jabatan Senibina FRSB, Prof. Dr. Rahinah Ibrahim; Pensyarah Kanan FRSB, Dr. Siti Mastura Md Ishak dan Dr. Sazrinee Zainal Abidin serta Ahli Exco Alumni Network UPM, LAr. Amos Ng Kheng Hooi.