?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

WIRAMASLI 2025 semarakkan minat mahasiswa UPM dengan irama Melayu asli

 

SERDANG, 30 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), baru-baru ini telah menganjurkan Pertandingan Nyanyian Warisan Irama Melayu Asli Interkolej (WIRAMASLI) 2025 bagi menyemarakkan minat mahasiswa terhadap irama Melayu asli.

 

Pertandingan itu menghimpunkan penyertaan daripada 12 kolej kediaman UPM dan memberi peluang kepada mahasiswa menyerlahkan bakat nyanyian tradisional selain memupuk rasa cinta terhadap seni warisan bangsa dalam suasana penuh harmoni dan nostalgia.

 

Pengarah PKKSSAAS UPM, Husalshah Rizal Hussian berkata, pertandingan tersebut menjadi landasan penting untuk mengangkat semula nilai seni muzik tradisional dalam kalangan anak muda kampus.

 

 

“Lagu-lagu asli bukan sekadar hiburan tetapi ia mendidik jiwa serta menghubungkan kita dengan akar budaya yang semakin dilupakan,” katanya.

 

Johan kategori wanita, Nurul Shimaida Ibnu Hashim dari Kolej Tun Dr. Ismail meluahkan rasa terharu atas sokongan yang diterima sepanjang pertandingan.

 

 

“Saya sangat bersyukur dapat menyampaikan lagu warisan ini dengan baik dan berharap ia dapat menyemai semangat mencintai budaya dalam diri rakan-rakan mahasiswa,” katanya.

 

Selain itu, keputusan pertandingan menyaksikan Muhammad Qamar Iman Kamarudin dari Kolej Canselor dan Nurul Shimaida Ibnu Hashim dari Kolej Tun Dr. Ismail dinobatkan sebagai johan lelaki dan wanita. Mohammad Hisham Arman dari Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee serta Zulaikha Zarina Zahrin dari KOSASS diumumkan sebagai naib johan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Adib Solehin Nazri dan Nur Adlyn Naadirah Sabran dari Kolej Dua Belas.

 

 

Anugerah khas turut diberikan kepada Kolej Empat Belas dan Kolej Pendeta Za’ba bagi Komitmen Terbaik, Muhammad Qamar Iman bagi Busana Terbaik, Putra Daniel Akasha untuk Persembahan Terbaik, dan Mohammad Hisham bagi Vokal Terbaik.

 

Pertandingan ini juga diadili oleh tiga juri profesional berpengalaman dalam bidang irama Melayu asli, iaitu Azizzul Haqim Md Anuwar yang merupakan Johan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2008, Adidi Tamin selaku Johan Bintang Asli Remaja Peringkat Negeri 2002 dan 2007, serta Muhammad Danies Hairie Zamri, Johan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2024.

 

Dalam pada itu, WIRAMASLI 2025 membuktikan bahawa seni warisan Melayu masih relevan serta mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa, dan diharap dapat diteruskan sebagai usaha berterusan memartabatkan budaya bangsa.

WYHBRAn~