?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Status atlet sofbol negara tidak halang Afrina genggam ijazah

Oleh: Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri

 

 

SERDANG, 4 Dis - Atlet sofbol negara, Afrina Syahirah Kaharudin tidak menjadikan kesibukannya di padang sebagai halangan untuk mengenggam ijazah setelah menamatkan pengajian dalam Bacelor Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Putra Malaysia (UPM). 

 

Atlet yang berusia 23 tahun itu menerima skrol graduasi dengan suasana penuh penghargaan dalam Majlis Konvokesyen UPM ke-49 yang disampaikan oleh Pro Canselor UPM, Tan Sri Peter Chin Fah Kui, hari ini.

 

Cabaran membahagikan masa antara akademik dan kerjaya sebagai atlet bukanlah mudah lebih-lebih lagi perlu menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa, namun Afrina membuktikan bahawa kecemerlangan akademik dan sukan mampu digapai serentak dengan disiplin, pengurusan masa dan pengorbanan berterusan. 

 

Kejayaan ini sekaligus menjadi pendorong semangat beliau bagi mewakili Malaysia dalam sukan softball pada Sukan SEA ke-33 di Bangkok, Thailand yang akan berlangsung pada 9 hingga 20 Disember ini.

 

“Membawa nama Malaysia di Sukan SEA datang dengan tekanan besar, tetapi saya belajar mengurusnya dengan fokus, persediaan dan mindset yang tenang,” katanya.

 

Afrina mengakui pernah berada di ambang putus asa apabila berdepan tekanan akademik dan jadual latihan yang padat, khususnya ketika melalui subjek-subjek kejuruteraan yang mencabar.

 

“Saya pernah rasa terlalu penat sampai terfikir untuk tukar kursus, tetapi setiap kali saya bertenang, saya akan ingat semula perjalanan saya dari padang sekolah sampai ke peringkat kebangsaan. Kalau saya sudah kuat sampai sini, tak wajar saya berhenti hanya kerana satu fasa sukar,” katanya.

 

Sokongan ibu, Kamisah Sukir, 55 dan bapa, Kaharudin Samsudin, 55, yang juga merupakan atlet kebangsaan Sepak Takraw menjadi tunjang utama yang memastikan beliau kekal bertahan sehingga kini.

 

 

“Pengorbanan ibu bapa saya paling menyentuh hati. Mereka ulang-alik hantar saya ke latihan, tunggu berjam-jam di padang dan pastikan saya ada peralatan terbaik walaupun bukan mudah bagi mereka.

 

“Saya juga bersyukur kerana pensyarah dan pihak universiti banyak membantu dari segi kefahaman terhadap jadual latihan dan pertandingan,” jelasnya.

 

Dalam arena sukan universiti, Afrina turut mengharumkan nama UPM apabila mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dalam National Open Championship pada 2022 dan 2023, sekali gus muncul johan pada kedua-dua edisi tersebut.

 

Kini tumpuan utamanya terarah kepada persediaan menghadapi Sukan SEA Bangkok, dengan matlamat untuk membantu skuad softball wanita negara membawa pulang pingat emas.

 

“Ini peluang besar untuk kami buktikan kemampuan sebenar. Saya mahu berikan yang terbaik, bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga untuk UPM yang banyak membentuk saya sebagai atlet yang lebih matang dan berdisiplin,” ujarnya.

 

Beliau turut menitip pesanan kepada generasi muda, khususnya pelajar yang meminati sukan tetapi bimbang akan mengganggu pelajaran.

 

“Jangan takut pada cabaran. Takutlah pada versi diri yang tidak pernah mencuba. Kalau ada impian, kejar sampai dapat,” katanya.

WYMERAj~