Oleh : Ameesya Aghniya Ab Rahim

PUTRAJAYA, 6 Nov – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Kepemimpinan Akademik (CADe-Lead) terus menerajui agenda transformasi pendidikan tinggi negara apabila menganjurkan Sidang Meja Bulat Kluster Teaching and Learning sempena Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025, semalam.
Program tersebut menjadi platform strategik yang menghimpunkan ahli akademik dan pakar pendidikan dari pelbagai institusi untuk membincangkan pendekatan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran, sejajar dengan keperluan semasa serta kemajuan teknologi pendidikan global.
Pengarah CADe-Lead, Prof. Madya Ts. Dr. Wan Zuhainis Saad, berkata sidang meja bulat ini memberi penekanan kepada usaha membentuk ekosistem pembelajaran yang lebih dinamik, inklusif dan berdaya saing melalui perkongsian idea serta amalan terbaik dalam kalangan pendidik.

“Perbincangan ini memberi fokus kepada pembangunan kompetensi tenaga akademik agar sentiasa selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara serta kemajuan teknologi masa depan. Inovasi pengajaran perlu berpaksikan kepada nilai kemanusiaan agar pelajar bukan sekadar belajar, tetapi juga berkembang sebagai individu yang seimbang,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa CADe-Lead komited memperkukuh kapasiti tenaga akademik melalui pelaksanaan program berimpak tinggi yang menekankan reka bentuk pengajaran berasaskan teknologi, pembelajaran adaptif serta pendidikan berasaskan nilai.

Sidang meja bulat tersebut turut menampilkan sesi forum dan pembentangan ucaptama bertajuk “Kepimpinan Pendidikan Tinggi ASEAN: Merentasi Masa Depan Bersama” yang menyorot keperluan memperkukuh sistem pendidikan tinggi serantau yang inklusif, berdaya tahan dan mampan, selaras dengan aspirasi ASEAN Vision 2045.
Penganjuran ini melambangkan peranan UPM sebagai peneraju dalam membentuk ekosistem pembelajaran berasaskan inovasi dan kolaborasi, ke arah memperkasa pendidik sebagai agen perubahan dalam dunia pendidikan tinggi yang semakin dinamik.






