?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Graduan OKU penglihatan idam perkasakan tulisan Braille

Oleh: Amer Imran

 

 

 

SERDANG, 2 Dis - Dilahirkan buta sejak lahir bukan halangan buat Nur Hazirah Rusli, 24, menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu (Kepujian) di Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan berbekalkan cinta mendalam terhadap bahasa Melayu yang menjadi “mata hati” hidupnya.

 

Dilahirkan pramatang dengan masalah retinal detachment pada kedua-dua belah mata, Hazirah membesar tanpa penglihatan, namun tidak pernah kekurangan tekad dan cita-cita memperkasakan Bahasa Melayu menggunakan tulisan Braille.

 

“Bahasa Melayu kaya dengan istilah, warna makna dan kehalusan yang membolehkan seseorang menzahirkan fikiran dengan begitu indah. Dari situlah lahir impian saya untuk menjadi guru dan kemudian berkembang kepada cita-cita untuk menjadi penyunting dan penterjemah bahan ke dalam tulisan Braille,” katanya di Majlis Konvokesyen UPM ke-49 hari ini.

 

Anak bongsu daripada 5 adik beradik itu mengakui laluan akademiknya menuntut kesungguhan luar biasa. Beliau hanya mempelajari tulisan Braille dua minggu sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun keberanian mencuba membuka jalan panjang buatnya di alam universiti.

 

Di UPM, cabaran datang silih berganti, khususnya ketika pengajian dijalankan secara dalam talian semasa pandemik COVID-19.

 

“Dalam kelas, saya satu-satunya pelajar OKU penglihatan. Saya perlu dapatkan bahan awal daripada pensyarah, kemudian menyalin sendiri nota kuliah ke dalam Braille dengan bantuan rakan-rakan. Ada tugasan yang mengambil masa untuk saya siapkan,” katanya.

 

 

Beliau tidak menafikan ada detik hampir berputus asa, namun cinta terhadap bahasa Melayu dan keyakinan ibu bapanya, Rusli Osman, 65 dan Azizah Zakaria, 63, menjadi tunjang untuk terus bertahan.

 

“Ibu bapa saya selalu yakin terhadap saya, walaupun saya tidak dapat melihat. Keyakinan mereka menjadi sebahagian daripada kekuatan saya. Saya mahu buktikan bahawa kekurangan penglihatan bukan alasan untuk tidak berjaya,” ujarnya.

 

UPM turut memainkan peranan penting dengan menyediakan sokongan bersesuaian, termasuk kemudahan komputer riba Braille dan memastikan beliau dapat mengikuti pengajian seperti pelajar lain.

 

Hazirah kini menyimpan harapan untuk mengembangkan kerjaya dalam bidang penyuntingan, terutamanya menterjemah dan menyunting artikel serta berita ke dalam tulisan Braille agar lebih banyak kandungan berkualiti dapat dinikmati oleh masyarakat OKU penglihatan.

 

Beliau turut berkongsi kata-kata bapanya yang menjadi pegangan sepanjang meniti perjalanan akademik.

 

“Bapa selalu pesan, ‘Kita mesti teruskan, walau patah sayap, namun tetap kudaki.’ Bagi saya, seorang buta sekalipun mampu ‘melihat’ dunia melalui bahasa,” katanya dengan penuh emosi.

 

“Kisah saya bukan untuk dikagumi semata-mata, tetapi untuk mengingatkan bahawa apa yang sering dilihat sebagai kekurangan boleh menjadi kekuatan, jika diberi peluang, sokongan dan ruang untuk berkembang,” tambahnya

WYMESA1~