?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Guru JAIS tamat pengajian setelah sembilan tahun mengharung kemarau PhD

Oleh: Noor Eszereen Juferi


 

SERDANG, 3 Disember – Ketabahan dan kekuatan tekad akhirnya membuahkan hasil apabila seorang guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dr. Ruzanita Sarman, menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama di Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus menamatkan “kemarau PhD” yang ditempuh hampir satu dekad pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang 2, hari ini. 

 

Dr. Ruzanita, 51, berkata perjalanan akademiknya bukanlah perjalanan yang lurus. Bermula tahun 2016 dengan pengajian PhD, satu perjalanan panjang yang melewati tempoh seusia anak sulungnya, dari enam tahun hingga kini 25 tahun.

 

Namun perjalanan itu sering terhenti setelah beberapa kali ditangguhkan serta hampir putus asa. Kini, selepas sembilan tahun bertarung dengan masa, komitmen sebagai guru dan tanggungjawab sebagai ibu kepada lima cahaya mata, beliau akhirnya berdiri di pentas konvokesyen sebagai seorang doktor falsafah.

 

“Kalau ikutkan hati, saya sudah lama berputus asa tetapi apabila sudah mula saya perlu habiskan sampai bergraduat,” katanya dengan penuh sebak.

 

Walaupun bidang asalnya dalam pendidikan agama Islam, Dr. Ruzanita memilih bidang Bahasa Melayu kerana minat mendalam terhadap bahasa kebangsaan dan untuk memperkukuh kompetensi sebagai pendidik. 

 

“Ilmu baharu yang diterokai di Fakulti Pengajian Pendidikan UPM telah menambah keyakinannya dalam mengajar dan memberi impak lebih besar kepada murid-murid saya,” katanya. 

 

Beliau tidak keseorangan dalam perjuangan ini. Suaminya, Abd. Halim Abd. Latif, menjadi tulang belakang utama yang tidak pernah melepaskan pegangan serta anak-anak, selain sokongan moral dan akademik daripada penyelia yang sentiasa percaya pada keupayaannya.

 

“Sebagai ibu saya mahu menjadi teladan kepada anak-anak bahawa menuntut ilmu adalah tanggungjawab sepanjang hayat. Walaupun saya dan suami tidak mempunyai harta untuk diwariskan kami percaya pendidikan ialah aset paling penting untuk masa depan mereka,” katanya. 

 

Mengakhiri penantian panjang sejak usia 42 tahun hingga 51 tahun, Dr. Ruzanita menitipkan pesanan buat mereka yang masih tidak pasti untuk menyambung pengajian.

 

“Usahalah kerana ilmu sangat penting dalam mencorakkan masa depan dan jangan takut kepada cabaran,” katanya. 

WYMEMAU~