Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

SERDANG, 4 Disember - Kehilangan kedua-dua ibu bapa pada usia muda tidak pernah mematahkan semangat Nik Maisara Faireen Putri Muhammad Rohaizan, 24, graduan Bacelor Kejuruteraan Perisian Dengan Kepujian, Universiti Putra Malaysia (UPM), yang kini melakar kerjaya dalam industri penerbangan, dunia kerjaya bapanya sebagai juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Nik Maisara yang bergraduat pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-49 mengakui perjalanan hidupnya tidak pernah mudah, namun kesakitan akibat kehilangan itulah yang membentuk ketabahan dirinya hari ini.
“Ayah pergi terlalu awal dan ibu pula pergi ketika saya masih mencari arah hidup. Saya belajar bahawa ketabahan bukan bermaksud kita tidak merasa sedih, tetapi kita tetap perlu bergerak walaupun kehilangan itu sangat menyakitkan,” katanya.
Bapanya meninggal dunia pada tahun 2006 ketika beliau baru berusia lima tahun. Sepuluh tahun kemudian, pada 2016, ibunya pula meninggal dunia akibat kanser payudara, sekali gus mengubah sepenuhnya kehidupan Nik Maisara dan dua orang adiknya.
Selepas pemergian ibu, mereka tiga beradik berpindah dari Kuantan ke Ampang untuk tinggal bersama ibu saudara yang menjadi tulang belakang keluarga kecil itu.
“Ibu saudara saya banyak berkorban untuk kami dan menjaga kami dengan penuh kasih sayang. Dialah tempat kami bergantung, pembimbing dan penyokong emosi yang memastikan kami dapat meneruskan kehidupan dan pendidikan seperti anak-anak lain,” ujar Nik Maisara.

Di sebalik cabaran emosi dan tekanan kehidupan, Nik Maisara tetap cemerlang menamatkan pengajian dengan kelas pertama dalam bidang Kejuruteraan Perisian, sekali gus membuktikan bahawa latar belakang hidup yang sukar bukan penghalang untuk berjaya.
“Saya ingin menjadi contoh yang baik buat adik-adik kerana saya mahu mereka tahu bahawa walaupun hidup bermula dengan cabaran dan kehilangan, kita masih mampu berdikari, berusaha dan mencapai kejayaan jika tidak berputus asa,” katanya.
Pengalaman latihan industrinya di Asia Digital Engineering (ADE) membuka ruang lebih luas untuk beliau memahami sektor penerbangan dari sudut teknologi.
“Di ADE, saya didedahkan dengan sistem berskala besar dan persekitaran kerja profesional. Ia membina keyakinan saya untuk menyumbang secara teknikal dan bekerjasama dalam pasukan yang dinamik.
“Saya belajar bagaimana setiap tugasan memberi impak kepada keseluruhan sistem, dan bagaimana komunikasi serta kerjasama yang baik menjadi kunci memastikan projek berjaya,” jelasnya.
Kini, Nik Maisara meneruskan kerjaya dalam industri penerbangan, terlibat dalam pembangunan dan pengujian sistem berkaitan operasi kejuruteraan yang menuntut ketelitian, keupayaan bekerja dalam pasukan dan komitmen teknikal yang tinggi, seiring legasi ayahnya walaupun dalam bentuk yang berbeza.






