?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

AgriHub@Gedong perkukuh inovasi pertanian pintar di Sarawak

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

BINTULU, 30 Okt – Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) menerajui transformasi pertanian negara melalui pelaksanaan AgriHub@Gedong, satu inisiatif strategik berimpak tinggi yang mentransformasikan landskap penanaman padi di Sarawak berasaskan sains, teknologi dan inovasi komuniti.

 

AgriHub@Gedong berfungsi sebagai hab pertanian bersepadu yang menggabungkan penyelidikan universiti, teknologi moden dan penglibatan aktif komuniti tani dalam satu ekosistem mampan. Inisiatif ini menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Sarawak untuk menjadikan negeri ini sebagai jelapang padi baharu Malaysia dan menyokong agenda sekuriti makanan negara.

 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, menjadi penggerak utama di sebalik pelaksanaan projek ini yang menumpukan Gedong sebagai pusat inovasi pertanian negeri dengan sokongan dasar, infrastruktur dan peruntukan pembangunan mampan.

 

Selain itu, AgriHub@Gedong dilaksanakan melalui kerjasama erat antara UPM, Kerajaan Negeri Sarawak, dan komuniti tempatan, disokong oleh pelbagai agensi termasuk Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA), Jabatan Pertanian Sarawak (DOA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan UPMS, Ts. Dr. Muhammad Huzaifah Mohd Roslim, berkata AgriHub@Gedong menjadi platform penting universiti menterjemahkan visinya di bawah kerangka True North Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, dalam mengembalikan kekuatan asal universiti dalam bidang pertanian.

 

“AgriHub@Gedong menjadi model universiti berimpak di mana penyelidikan dan inovasi diterjemahkan terus kepada penyelesaian praktikal di lapangan. Di Gedong sawah menjadi ‘living laboratory’ dan komuniti tani menjadi rakan strategik dalam membangunkan pertanian masa depan,” katanya.

 

Projek yang dijalankan di Kampung Lubok Punggor, Gedong, menggunakan teknologi terkini seperti dron multispektral, sistem pengairan automatik, mesin transplanter dan combine harvester bagi meningkatkan produktiviti penanaman padi daripada purata 1 hingga 2 tan kepada 5 hingga 6 tan sehektar.

 

Tambah Ts. Dr. Muhammad Huzaifah, UPMS turut menubuhkan Unit Pertanian AgriHub@Gedong di bawah Koperasi Kampung Lubok Punggor Simunjan Berhad bagi mengurus operasi pengeluaran, penyelenggaraan mesin serta pemasaran hasil secara profesional dan berorientasikan pasaran.

 

 

“Gabungan universiti, kerajaan dan komuniti ini adalah contoh terbaik model kolaborasi tiga hala atau triple helix collaboration yang berfungsi sebagai asas inovasi pertanian moden,” katanya. 

 

Tambah beliau, Kampung Lubok Punggor, yang menanam lebih 23 varieti padi tempatan termasuk Biris, Padi Hitam, dan Buntal Pulut, mempunyai potensi luar biasa sebagai pusat biodiversiti padi.

Walau bagaimanapun, sistem tradisional yang bergantung kepada hujan dan penuaian manual sebelum ini menjejaskan produktiviti.

“Melalui pendekatan saintifik UPM, amalan pertanian baik (GAP) dan penggunaan baja organik serta bahan perapi tanah semula jadi diperkenalkan bagi meningkatkan kesuburan dan kelestarian sawah,” katanya.

 

Selain menjadi pusat penyelidikan, AgriHub@Gedong turut berfungsi sebagai gerakan sosial berasaskan ilmu yang memperkasa komuniti tani luar bandar melalui latihan kemahiran, peningkatan pendapatan dan penguasaan teknologi moden.

 

Program Jalinan Kasih Tani (JKT) antara aktiviti utama yang menghubungkan penyelidik, pelajar dan petani melalui bengkel serta demonstrasi amali di lapangan.

 

“Cabaran sebenar bukan pada teknologi, tetapi pada penerimaan komuniti terhadap perubahan. Kami membina kepercayaan melalui tindakan. Bila petani melihat hasil nyata, perubahan itu berlaku dengan sendirinya,” jelasnya.

Dengan kejayaan pelaksanaan AgriHub@Gedong, UPMS dan Kerajaan Negeri Sarawak kini menilai potensi memperluaskan model ini ke kawasan lain seperti Simunjan, Lundu, Banting dan Lingga sebagai sebahagian strategi meningkatkan tahap kecukupan beras (Self-Sufficiency Level, SSL) negeri.

 

“Kejayaan AgriHub@Gedong membuktikan bahawa UPM terus kekal sebagai universiti pertanian unggul Malaysia, peneraju dalam bidang agroteknologi, sekuriti makanan dan pembangunan komuniti Lestari,” katanya.

AgriHub@Gedong dijangka menjadi pusat rujukan pertanian pintar serantau di ASEAN, khususnya dalam bidang padi tropika, pengurusan air dan inovasi komuniti tani, sekali gus memperlihatkan keupayaan universiti melaksanakan perubahan sebenar di lapangan demi kesejahteraan rakyat dan kedaulatan makanan negara.






WYKeVA0~