SERDANG, 22 Oktober – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) terus memperkukuh agenda pembangunan sahsiah dan patriotisme mahasiswa melalui penganjuran Program Pembangunan Profesionalisme Pelajar (3P) dan Modul Pemahaman serta Amalan Rukun Negara di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), baru-baru ini.
Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad, berkata penganjuran program ini berperanan sebagai platform strategik untuk memperkukuh nilai profesionalisme, kepimpinan dan semangat kenegaraan dalam kalangan pelajar universiti.
“Program ini bukan sahaja membentuk pelajar menjadi pemimpin yang berilmu dan beretika, tetapi juga warganegara yang memahami tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.
Pelaksanaan secara berterusan penting bagi memperkukuh identiti pelajar serta membina generasi muda yang berdaya tahan dan bersemangat patriotik,” katanya.
Program selama dua hari yang berlangsung pada 18 hingga 19 Oktober lalu menghimpunkan 43 pelajar tahun satu hingga empat dari pelbagai fakulti dan program pengajian, dengan objektif membina pelajar berilmu, beretika serta berjiwa patriotik.
Sepanjang program, peserta mengikuti siri bengkel dan latihan berasaskan nilai profesionalisme, jati diri serta penghayatan lima prinsip Rukun Negara melalui pendekatan teori dan praktikal. Modul berkenaan turut melatih peserta menjadi ‘duta belia’ yang mampu menyampaikan mesej kewarganegaraan dan keharmonian kepada rakan sebaya serta komuniti luar.
Pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan, Aaina Amylyeta Fazilnoralim, 19, berkata pengalaman mengikuti program ini telah membuka ruang refleksi diri terhadap makna sebenar menjadi rakyat Malaysia.
“Saya kini lebih memahami maksud dan tujuan setiap prinsip Rukun Negara serta kepentingan mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Program ini juga membantu saya membina sikap profesional dan berintegriti,” katanya.
Pelajar Diploma Kesihatan Haiwan dan Peternakan, Muhammad Nur Iman Aminuddin, 26, berkata pendekatan interaktif program ini menjadikan nilai patriotisme lebih mudah dihayati.
“Kami bukan sahaja didedahkan kepada pengetahuan, tetapi turut menjalani aktiviti yang menyemai semangat cintakan negara dan menghormati kepelbagaian masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam melahirkan graduan bitara yang holistik, berihsan dan berjiwa patriotik, selaras dengan aspirasi Pelan Strategik UPM dan agenda pembangunan pelajar kebangsaan yang menekankan keseimbangan ilmu, etika dan identiti kebangsaan.