?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Graduan Bacelor Terbaik UPMS jadikan pertanian dan sains hayat panduan hidup

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

BINTULU, 1 November – “Bidang pertanian dan sains hayat yang menjadi teras Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi saya pandangan luas tentang hubungan antara manusia, alam dan kelestarian hidup,” kata Clayrieysia Samantha Michael Solomon, penerima Hadiah Universiti (Hadiah Live Animals Medical Centre – Graduan Terbaik Bacelor) pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang 1, di sini, hari ini.

 

Clayrieysia, 24, graduan Bacelor Sains Bioindustri dengan Kepujian dari Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan (FSPH), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), berkata program pengajiannya memperkukuh kefahaman tentang kaitan antara sains, kehidupan dan kemanusiaan.

 

“Sains bukan sekadar teori di makmal, tetapi alat untuk memahami dan memperbaiki dunia sebenar. Pendekatan interdisiplin di UPMS membentuk saya berfikir secara sistematik serta menghargai nilai kemanusiaan di sebalik setiap inovasi,” katanya.

 

Beliau berkata, pengalaman menuntut ilmu di UPMS menanam kesedaran bahawa pertanian dan sains hayat menyentuh setiap aspek kehidupan, daripada sumber makanan hingga kesejahteraan masyarakat dan keseimbangan alam sekitar.

 

“Bagi saya, inilah kekuatan sebenar UPM dengan melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga sedar akan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat dan bumi,” ujarnya.

 

Clayrieysia berkata, penerimaan anugerah itu merupakan penghargaan atas segala usaha dan pengorbanan sepanjang pengajian di universiti yang digelarnya sebagai Menara Ilmu.

“Kejayaan ini adalah hasil keseimbangan antara belajar, mencuba dan menikmati kehidupan sebagai pelajar,” katanya.

 

Beliau turut menekankan kepentingan mencari keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kebahagiaan diri.

“Bagi saya, kejayaan tidak hanya diukur melalui gred. Saya belajar dengan cara tersendiri, tanpa tekanan tetapi dengan perancangan yang rapi. Fasa ini menjadi tempoh penerokaan diri yang penuh pengalaman dan pengajaran,” katanya.

 

Selepas bergraduat, Clayrieysia merancang menimba pengalaman dalam industri di Malaysia sebelum melanjutkan pengajian di luar negara, dengan hasrat menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan PhD dalam bidang Bioteknologi, Sains Pertanian atau Teknologi Lepas Tuai di Eropah atau Jepun.

 

“Saya ingin terus terlibat dalam penyelidikan dan inovasi yang memberi impak kepada sektor makanan, kelestarian dan masyarakat. Impian saya ialah menubuhkan syarikat sendiri dalam bidang bioindustri dan pertanian lestari,” katanya.

 

WYLCHAe~