?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Ilmu dibawa pulang ke hutan: Adilah tekad bangunkan generasi muda Orang Asli




BINTULU, 1 Nov
– Bagi Adilah Adi, gadis Orang Asli dari Gambang, Pahang, ilmu bukan sekadar tiket untuk mengubah nasib diri, tetapi amanah untuk membangunkan komuniti asalnya yang masih bergelut dengan jurang pendidikan dan keyakinan diri.

Graduan Bacelor Sains Pembangunan Manusia dengan Pengurusan (Kepujian), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak) ini berkata, pengalaman menjalani latihan industri di sebuah agensi pembangunan masyarakat telah mengubah sepenuhnya pandangan hidupnya.

“Semasa latihan industri, saya tersentuh melihat masih ramai kanak-kanak Orang Asli yang berasa rendah diri dan tidak yakin untuk menyambung pelajaran ke universiti. Dari situ saya sedar, saya bukan belajar untuk diri sendiri tetapi untuk mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-49 Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) di sini, hari ini.

Adilah berkata, ramai pelajar di kampungnya beranggapan bahawa universiti hanya untuk orang bandar, menyebabkan mereka tidak berani bermimpi besar.

“Saya lihat ramai adik-adik di kampung rasa tidak layak untuk berjaya. Dari situ saya berjanji, saya akan kembali dan menjadi suara yang membakar semangat mereka,” jelasnya.




Kini, Adilah aktif sebagai sukarelawan dalam program motivasi dan kesedaran pendidikan di kawasan pedalaman sekitar Pahang, memberi inspirasi kepada pelajar Orang Asli untuk menjejakkan kaki ke universiti.

“Kalau saya boleh sampai ke universiti, mereka pun boleh. Saya mahu jadi bukti bahawa anak Orang Asli juga mampu berjaya, asalkan diberi peluang dan keyakinan diri,” katanya tersenyum.

Baginya, kejayaan sebenar bukan terletak pada segulung ijazah, tetapi pada kemampuan membawa perubahan dan menjadi pemangkin harapan kepada masyarakat. 

“Pendidikan bukan hanya jalan keluar daripada kemiskinan, tetapi juga jambatan untuk memperkasa komuniti dan membina maruah bangsa sendiri,” katanya penuh makna.

Kisah Adilah menjadi bukti bahawa ilmu mampu mengubah bukan sahaja masa depan individu, tetapi juga seluruh komuniti, menjadikan perjalanan gadis ini simbol ketabahan, keberanian dan semangat Orang Asli yang mahu maju bersama negara.

WYLCHAh~