?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Universiti bukan sekadar menimba ilmu, tetapi gelanggang bina jati diri – Pro Canselor

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

BINTULU, 1 November – Universiti bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi juga gelanggang penting dalam membentuk jati diri, menyemai bakat serta menyerlahkan potensi diri agar graduan bukan sahaja cemerlang di bilik kuliah, malah unggul di pentas kepimpinan dan kokurikulum.

 

Demikian pesanan Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Tan Sri Peter Chin Fah Kui, ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM ke-49 Sidang 1 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak), di sini, hari ini.

 

Beliau berkata, pembangunan holistik yang diterapkan sepanjang pengajian merupakan asas penting dalam melahirkan graduan berdaya saing, berintegriti dan berpemikiran global.

 

“Kecemerlangan graduan tidak diukur semata-mata melalui pencapaian akademik, tetapi melalui kemampuan mereka memimpin, berkomunikasi dengan berkesan dan berbakti kepada masyarakat,” katanya.

 

Tan Sri Peter turut menegaskan bahawa setiap graduan perlu mengamalkan nilai-nilai murni yang diterapkan sepanjang berada di universiti serta menjadi duta kepada reputasi dan nama baik UPM di mana sahaja mereka berada.

 

“Sebagai alumni, anda membawa bersama nama universiti ini. Jadilah insan yang berilmu, beretika dan berbakti kerana itulah lambang sebenar kecemerlangan seorang graduan UPM,” katanya.

 

Menurut beliau, selepas lebih 50 tahun penubuhannya, UPM Sarawak kini berkembang sebagai nukleus pengembangan ilmu dan inovasi yang menjangkau seluruh negeri.

 

“UPM Sarawak perlu terus melakukan transformasi kurikulum, memperkukuh penyelidikan dan pembangunan bakat agar kekal relevan dan berdaya saing dalam menghadapi perubahan zaman. Usaha ini penting bagi memperkukuh bidang kepakaran serta meneroka disiplin baharu sejajar dengan keperluan semasa,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Tan Sri Peter turut merakamkan penghargaan kepada Yayasan Sarawak atas komitmen berterusan menaja pelajar Program Persediaan Diploma Sains dengan sumbangan berjumlah RM200,000 setahun, meliputi yuran pengajian, kos sara hidup dan kelas tuisyen.

 

“Inisiatif ini membuka ruang kepada pelajar untuk memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran tanpa dibebani kekangan kewangan serta mencerminkan keprihatinan dan peranan aktif Yayasan Sarawak dalam memperkasa akses pendidikan tinggi kepada anak-anak negeri,” katanya.

 

Beliau turut menyeru agar para graduan melunaskan pinjaman pendidikan sebagai tanda amanah dan tanggungjawab moral terhadap peluang yang diberikan.

 

“Budaya ini perlu dikekalkan kerana ia mencerminkan keperibadian unggul graduan, selain membantu generasi masa depan menikmati kemudahan pendidikan yang sama,” katanya.

 

Majlis konvokesyen kali ini mencatat sejarah apabila menjadi yang pertama diadakan di bawah penjenamaan baharu UPM Sarawak selepas pelancarannya pada 30 Jun 2025.

 

Ia turut menyaksikan graduan sulung bagi program baharu Bacelor Sains Kimia Perindustrian dengan Kepujian dan Diploma Pengurusan Perniagaan menerima ijazah dan diploma masing-masing, menandakan pencapaian penting dalam peluasan program akademik universiti.

 

Seramai 556 graduan menerima ijazah dan diploma dalam pelbagai bidang, meliputi tujuh Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), 31 Ijazah Sarjana, 130 Ijazah Bacelor dan 388 Diploma.

WYLCHAt~