?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Impian genggam PhD. sebelum usia 30 tahun tercapai, Dr. Muhammad Faizul ingin terus perkasa bahasa Melayu

Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Jurufoto: Noor Azreen Awang

 

 

SERDANG, 27 Nov – Impian menggenggam PhD. sebelum usia mencecah 30 tahun akhirnya tercapai, Dr. Muhammad Faizul Abd Hamid, 29, berjaya memperoleh PhD. dalam Pengajian Wacana di Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-47 Sidang 2 Tahun 2023, ingin terus memperkasa bahasa Melayu. 

 

“Saya memulakan pengajian di UPM pada peringkat sarjana Pengajian Wacana pada tahun 2018, dan kemudian melanjutkan pengajian pada peringkat PhD. dalam bidang yang sama pada tahun 2019. 

 

“Saya bersyukur kerana dapat menyiapkan tesis penyelidikan pada peringkat PhD. pada waktu yang telah ditetapkan oleh penaja dan dapat tamat  sebelum umur mencecah 30 tahun,” katanya.

 

Menurut Dr. Muhammad Faizul, bahasa Melayu ialah bahasa yang bertamadun, dan pembangunan dalam kehidupan masyarakat semuanya bermula daripada penggunaan bahasa Melayu di negara ini. 

 

“ada segelintir yang mencampuradukkan penggunaan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Mungkin tindakan ini dilihat sebagai simbol status, tetapi kecenderungan ini menjadikan kita sekerat ular sekerat belut.

 

“Keadaan ini menjadi lebih teruk apabila orang muda pada zaman ini tidak tahu langsung menggunakan bahasa Melayu dengan betulnya. Setiap tahun, masih banyak pelajar yang gagal mata pelajaran bahasa Melayu jumlahnya mencecah ribuan orang,” katanya. 

 

 

Dr. Muhammad Faizul banyak mengadakan seminar bahasa Melayu secara percuma untuk membantu pelajar SPM yang kurang berkemampuan di sekitar Kelantan, Sabah, Pahang dan Lembah Klang dalam penguasaan bahasa Melayu. 

 

Sebagai pencinta bahasa Melayu, Dr. Muhammad Faizul turut memanfaatkan media sosial menerusi Twitter, TikTok dan Instagram miliknya sebagai platform untuk berkongsi tips dan mempromosikan kecintaan terhadap bahasa Melayu bagi menyokong usaha pemeliharaan dan pengembangan bahasa. 

 

“Saya menyertai pelbagai kursus dan bengkel pemantapan bahasa Melayu untuk pemajuan diri serta berkecimpung dalam pendidikan mengajar bahasa Melayu bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata, tetapi untuk berkongsi petua dan kosa kata bahasa Melayu yang menarik serta penggunaan bahasa yang betul. 

 

“Dalam hal berbahasa, sesuatu yang dianggap sebagai kebiasaan tidak bermakna betul, dan kerana itu, saya menjiwai cogan kata ‘betulkan yang biasa, biasakan yang betul’,” katanya.

 

Sebagai individu yang suka berkongsi tentang ilmu bahasa Melayu, Dr. Muhammad Faizul menerima lamaran oleh sebuah syarikat produksi untuk mengendalikan program televisyen sendiri, iaitu “Geng Cakap Bahasa” yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

 

“Bahasa Melayu ialah bahasa kelima terbesar di dunia dan kita tidak seharusnya malu untuk menggunakannya.

 

Dalam pada itu, Dr. Muhammad Faizul menegaskan bahawa pelaburan ilmu adalah penting kepada masyarakat, khususnya golongan muda bukan untuk membina kerjaya semata-mata, melainkan sebagai bekal untuk menjalani kehidupan seharian dan mendepani cabaran masa hadapan. 

 

“Saya sangat percaya pada ilmu. Sesiapa sahaja boleh menjadi pempengaruh, YouTuber mahupun ‘content creator’ tetapi pendidikan bakal menjadikan kita berbeza, berpengetahuan dan berkredibiliti.

 

“Jadilah golongan berpendidikan kerana golongan berpendidikan itu ‘berbeza’ dari segi komunikasinya, pemikirannya dan cara kerjanya, serta dalam menangani masalah,” katanya.

WYGRXAh~