Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
Foto Oleh: Saleha Haron
PUCHONG, 2 Julai – Kaedah ‘Nutrient Film Technique’ (NFT) yang dipelajari oleh peserta Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) melalui Inisiatif Usahawan Tani (INTAN)@UPM membuka peluang kepada mereka kaedah penanaman hidroponik secara moden dan sistematik.
Peserta IPR INTAN, Uzair Mohd Ramlee, berkata teknik NFT memudahkan tanaman sayur secara hidroponik tanpa memerlukan tanah, sebaliknya menggunakan air dengan nutrien mencukupi.
“Kaedah ini banyak digunakan di ladang hidroponik komersial dan saya berhasrat membangunkan rumah hijau untuk tanaman sayur seperti kangkung, bayam, salad, sawi, pak choy dan sawi kerinting bagi menjana pendapatan,” katanya.
Seorang lagi peserta, Nor Atikah Asngari, berkata penanaman hidroponik menggunakan NFT menjimatkan penggunaan air, mempercepatkan tempoh tuaian dalam masa sebulan serta bebas daripada penggunaan racun.
“Tanaman dengan teknik NFT adalah organik dan mudah diuruskan. Selepas tamat program ini, saya akan mengaplikasikan teknik ini di kebun kampung saya, selain tidak hanya bergantung kepada kaedah tradisional,” katanya.
Tambahnya, teknik ini membolehkan penanaman salad di kawasan tanah rendah dan berpotensi menjana pendapatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada bekalan dari Cameron Highlands, selain menawarkan harga lebih kompetitif kepada pengguna.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pertanian Putra (PPP) UPM, Prof. Madya Dr. Siti Zaharah Sakimin, berkata sistem NFT yang menggunakan air bercampur baja dan dialirkan dalam palung khas sesuai diaplikasikan di kawasan tanah tidak subur termasuk bekas lombong.|
“Gabungan sistem NFT dan IoT membolehkan tanaman diusahakan secara lebih teratur di ruang terhad, sekali gus menyokong usaha pemerkasaan keselamatan makanan negara melalui kaedah penanaman moden.
“Pertanian boleh dijalankan dengan mudah menggunakan sistem automatik dan pemantauan IoT tanpa memerlukan petani sentiasa berada di ladang. Sistem ini membolehkan seorang petani mengurus tanaman secara efisien dan menjadikan bidang pertanian lebih sesuai dengan budaya generasi muda yang dekat dengan teknologi,” katanya.
Tambah beliau, fasiliti pembelajaran yang disediakan dalam IPR INTAN membantu peserta mendalami ilmu dan meningkatkan kemahiran sebagai usahawan tani moden, dengan penyediaan ruang pembelajaran dan penyelidikan bagi melahirkan bakat berkemahiran tinggi berasaskan teknologi.
UPM komited memainkan peranan dalam memacu pembangunan sektor pertanian negara selain membantu golongan asnaf meningkatkan taraf hidup melalui pertanian.
“Platform ini membuka peluang kepada peserta meraih pendapatan lebih tinggi untuk memulakan kerjaya sebagai petani moden, sekali gus membantu negara dalam usaha memastikan keterjaminan makanan.
“Agenda keterjaminan makanan negara akan terus diperkasa melalui Blueprint Keterjaminan Makanan UPM dalam pengaplikasian teknologi, inovasi, penyelidikan dan pembangunan modal insan,” ujarnya.