?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

FSTM UPM Perkasa Kesedaran Sekuriti Makanan Melalui Open Day @FoodTech 2025

 

 

 

 

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 



SERDANG, 15 Oktober – Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh peranannya dalam mempertingkat kesedaran awam terhadap kepentingan sekuriti makanan melalui penganjuran Open Day @FoodTech UPM 2025 yang bertemakan “Transforming Our Plates, Strengthening Food Security.”



Program tersebut menampilkan kepelbagaian bidang pengajian, penyelidikan serta inovasi dalam sains dan teknologi makanan kepada orang awam, pelajar sekolah dan rakan industri, sekali gus memperlihatkan komitmen UPM dalam mendukung agenda sekuriti makanan negara.



Dekan FSTM, Prof. Dr. Anis Shobirin Meor Hussin berkata, penganjuran itu mencerminkan peranan universiti sebagai pusat ilmu yang bukan sahaja melahirkan graduan berkualiti, tetapi turut memperkukuh sistem makanan negara melalui inovasi dan kolaborasi strategik.



“Sebagai fakulti yang menerajui pendidikan sains dan teknologi makanan, kami percaya transformasi bermula dengan kesedaran, kreativiti dan kolaborasi. Penyelidikan, inovasi dan kerjasama kami dengan pihak industri membantu memperkukuh sektor pertanian, memperkasa komuniti serta membina sistem makanan yang lebih berdaya tahan untuk negara,” katanya.



Program sehari itu turut memberi pendedahan kepada pelajar tentang aplikasi sebenar teknologi dan penyelidikan dalam industri makanan, termasuk demonstrasi inovasi produk, lawatan makmal, serta sesi perkongsian bersama penyelidik dan alumni industri.



Pelajar Bacelor Sains Operasi Pembuatan Makanan dengan Kepujian, Umairah Maisarah Mohd Shaufi, 20, berkata penganjuran tersebut membuka ruang untuk memahami realiti industri dan peluang kerjaya masa depan dalam bidang makanan.



“Program ini membuka mata saya tentang bagaimana inovasi dan teknologi diaplikasikan dalam proses pengeluaran makanan sebenar.



"Ia memberi inspirasi untuk saya menerokai bidang penyelidikan dan pembangunan produk pada masa hadapan,” katanya.



Open Day @FoodTech 2025 juga menjadi platform memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti dan industri, selain memupuk minat generasi muda terhadap bidang sains makanan serta peranannya dalam menjamin bekalan makanan negara yang selamat, berkhasiat dan mampan.

WYKQNAr~