?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Graduan UPM sahut cabaran kerja sambil belajar, tempa pengalaman baharu

Oleh: Noor Eszereen Juferi





BINTULU, 29 Oktober – Sembilan graduan Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) membuktikan bahawa kerja sambil belajar bukan sekadar usaha mencari pendapatan tambahan, tetapi peluang membina disiplin, kemahiran dan keyakinan diri sebelum melangkah ke dunia pekerjaan sebenar.

Salah seorang daripada mereka, Mohd Azreen Kushairi, graduan Bacelor Sains Akuakultur dengan Kepujian, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan, berkata pengalaman bekerja sambilan dalam bidang perkhidmatan makanan dan minuman (F&B) membantu beliau menampung kos projek tahun akhir tanpa membebankan ibu bapa.

Menurutnya, kerja sambilan bukan penghalang, sebaliknya menjadi latihan membentuk jati diri agar lebih berdikari dan bersedia menghadapi cabaran kehidupan selepas bergelar mahasiswa.

“Bidang F&B bukan mudah, tetapi ia mengajar saya tentang disiplin, komunikasi dan cara menyesuaikan diri dengan pelanggan daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Walaupun jadual padat dengan kuliah serta syif kerja dari petang hingga malam, Mohd Azreen tetap mengekalkan prestasi akademik melalui pengurusan masa yang berkesan.

“Saya belajar untuk berunding dan saling membantu apabila jadual kerja bertindih dengan tugasan kuliah,” jelasnya.

Beliau bersama lapan rakan lain, Muhammad Fadzlan Muhammad Wafiuddin, Ibrahim, Muhammad Idzni, Giovan Saban, Adri Adfam, Azim Nazihan, Muhammad Aiman Aishamuddin dan Wafiuddin yang bekerja sebagai pelayan dan pembantu dapur di sebuah restoran francais terkenal, Seoul Garden.






Katanya, majikan mereka amat memahami komitmen sebagai pelajar dan memberi ruang fleksibiliti bagi menyeimbangkan kerja serta pengajian.

“Kami bersyukur kerana pengurus restoran sangat positif dan menyokong hasrat kami untuk terus belajar sambil bekerja,” katanya.

Mohd Azreen mengakui pengalaman itu mengubah cara beliau menghargai nilai wang, masa dan tanggungjawab.

“Sebelum ini saya berada di zon selesa, namun apabila bekerja sendiri, saya belajar betapa pentingnya mengurus masa dan kewangan dengan baik. Ia menjadikan saya lebih matang dan berdikari,” ujarnya.

Beliau menyifatkan pengalaman tersebut sebagai latihan terbaik untuk memahami realiti dunia pekerjaan dan berharap kisah mereka dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain.

“Pengalaman di luar kuliah juga memainkan peranan besar dalam melahirkan graduan UPM yang berdaya tahan dan holistik, seiring dengan motto universiti Berilmu Berbakti,” katanya.

WYLDCAS~