Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Noor Azreen Awang
MELAKA, 30 Julai – Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memacu usaha pemindahan ilmu ke arah pembangunan komuniti pesisir menerusi penganjuran Program Translasional 2023: Empowering Social Transformation through Aquaculture di Pengkalan Nelayan Kuala Sebatu, Sungai Rambai.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), agensi kerajaan dan komuniti setempat, dengan aktiviti utamanya ialah pelepasan benih ketam renjong (Portunus pelagicus). Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif “High-Value Blue Swimming Crab Seed Program for the Sungai Rambai Community.”
Pengarah I-AQUAS, Prof. Dr. Ahmad Zaharin Aris berkata, inisiatif ini bertujuan memperkasakan komuniti pesisir melalui pembangunan akuakultur berimpak tinggi dan pemuliharaan sumber marin secara mampan.
“Ia menyokong pemulihan stok ketam renjong tempatan yang merupakan sumber ekonomi penting kepada komuniti nelayan. Kita mahu hasil penyelidikan universiti diterjemahkan secara langsung kepada komuniti, dan menerusi program ini, kaedah penternakan ketam renjong diperkenalkan kepada nelayan,” katanya.
Menurut beliau, program yang telah memasuki tahun kedua ini telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
“Empat pelepasan benih ketam telah dilaksanakan dengan jumlah terkini melebihi 250,000 ekor. Hasilnya, pendaratan ketam meningkat secara signifikan.
“Dahulu, nelayan hanya mendapat tiga hingga empat ekor ketam setiap kali turun ke laut, tetapi kini hasil pendaratan mencecah hampir 80 kilogram, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka sehingga RM4,000,” katanya.
Selain pelepasan benih, UPM turut membangunkan modul latihan merangkumi teknik penjagaan ketam, pembenihan dan pemasaran bagi membantu nelayan mengurus ternakan secara berdikari dan terus menghubungkan mereka dengan pembeli.
“Nelayan kini tidak lagi bergantung kepada hasil tunggal seperti kupang. Kepelbagaian hasil laut seperti ketam renjong membantu meningkatkan daya tahan ekonomi mereka,” katanya.
Prof. Dr. Ahmad Zaharin berkata program ini juga berjaya memendekkan tempoh pembesaran ketam dari tempoh semula jadi 10–12 bulan kepada hanya 5–8 bulan menerusi kualiti benih yang lebih baik sekaligus mempercepatkan pulangan hasil.
“Ketahanan benih juga meningkat dengan kadar kelangsungan hidup naik daripada 10 peratus secara semula jadi kepada 20 peratus melalui program ini,” katanya.
Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Jasin, Turina Mulo Ab Kahar, berkata program tersebut sebagai usaha strategik yang bukan sahaja memberi manfaat kepada nelayan, malah memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat.
“Harapan saya agar UPM meneruskan usaha ini dan membuka lebih banyak ruang kolaborasi untuk manfaat negara,” katanya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Nelayan Sebatu, Johari Ismail berkata, inisiatif ini banyak membantu menjana sumber ekonomi baharu buat komuniti nelayan tempatan dalam situasi hasil laut yang semakin berkurang.
“Dengan perubahan ekosistem dan bantuan pembenihan ketam renjong penduduk kini mendapat hasil laut yang lebih pelbagai dan menyumbang kepada penambahan sumber makanan negara,” katanya.