?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Ladang Hutan Pacu Ekonomi Hijau Negara – Naib Canselor UPM




Pembangunan ladang hutan di Malaysia berpotensi besar memacu ekonomi hijau negara selain mengurangkan kebergantungan industri perkayuan kepada hutan asli, kata Naib Canselor, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Dr. Ir. Ahmad Farhan Mohamad Sadullah.

Menurutnya, pembangunan ladang hutan adalah selaras dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025, Matlamat 5, iaitu Memperteguh Tadbir Urus Institusi, Kemampanan Kewangan dan Amalan Kelestarian Hijau, serta aspirasi universiti untuk menjadi peneraju kelestarian pada peringkat kebangsaan dan global.

“UPM amat menyokong pembangunan ladang hutan bagi memastikan kelestarian industri perkayuan dengan sumber diperoleh daripada perladangan hutan, sejajar dengan usaha menjadikan industri lebih mampan,” katanya semasa Sesi Libat Urus Impak Pembangunan Ladang Hutan di Malaysia terhadap Ekonomi, Sosial dan Alam Sekitar di UPM, hari ini.

Dato’ Prof. Dr. Ir. Ahmad Farhan berkata, usaha ini juga mengukuhkan peranan UPM sebagai pusat rujukan akademik dalam bidang perhutanan tropika, bioekonomi dan kelestarian, selaras dengan peranan UPM sebagai universiti pertanian terkemuka yang memacu ekonomi hijau negara melalui pembangunan ilmu dan inovasi lestari.

Dekan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS), UPM, Prof. Dr. Azlizam Aziz berkata, kolaborasi antara akademia, industri dan kerajaan menjadi tonggak utama dalam memastikan sektor ladang hutan terus berkembang secara lestari adalah tepat pada masanya seiring dengan keperluan semasa negara dan dunia.

“FPAS UPM terlibat dalam penyelidikan penilaian impak alam sekitar ladang hutan, inovasi bioteknologi spesies pantas tumbuh, kajian karbon dan kelestarian mikroiklim, serta pembangunan model ladang komuniti berasaskan sains untuk memperkukuh sektor ini secara mampan,” katanya.




Sesi Libat Urus ini turut bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) dengan matlamat memperkukuh sektor perladangan hutan negara melalui penyelidikan, pembangunan teknologi dan dasar yang lebih inklusif.

Dalam pada itu, Buku Ladang Hutan turut dilancarkan, mengetengahkan naratif lengkap mengenai sektor ladang hutan di Sabah, Malaysia.

Buku tersebut merangkumi aspek penubuhan ladang, pengurusan, ekonomi, ciri kayu dan nilai tambah produk kayu ladang, serta kisah kejayaan sektor ladang hutan Sabah sebagai panduan kepada pemain industri, pembuat dasar dan komuniti yang berminat dalam pembangunan ladang hutan.

WYHJVAc~