SERDANG, 28 Mei – Tiga pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan keupayaan dan potensi kepimpinan mereka apabila terpilih sebagai perwakilan rasmi Dewan Belia Negeri Perak menerusi Kem Pemilihan Perwakilan Sesi Kelima yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini.
Pemilihan tersebut menghimpunkan seramai 94 calon belia dari seluruh negeri, dengan hanya 63 peserta terpilih sebagai perwakilan menerusi proses penilaian menyeluruh yang merangkumi ujian fizikal, aktiviti berkumpulan, pengucapan awam, ujian bertulis dan sesi temu duga.
Pelajar Bacelor Sains Pengurusan Perladangan dengan Kepujian, Tamilarasan Ramasamy, dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Keseluruhan selepas memperoleh markah tertinggi dalam semua komponen penilaian dan diumumkan sebagai Perwakilan DB 01.
“Sepanjang program ini saya banyak belajar untuk keluar daripada zon selesa serta mengasah kebolehan diri dan meningkatkan keyakinan dalam memimpin. Ia benar-benar membuka mata saya terhadap potensi besar belia dalam membentuk masa depan negeri,” katanya.
Pengarah Unit Komunikasi dan Strategik Negeri Perak (Stratcomm), Muhamad Iqbal Jamal, program ini bukan sekadar pemilihan, tetapi turut berperanan sebagai platform latihan intensif untuk melahirkan barisan pemimpin muda yang memahami aspirasi dan dasar pembangunan negeri.
“Kita mahu wakil yang bukan sahaja mempunyai bakat kepimpinan, tetapi juga kefahaman mendalam terhadap peranan strategik mereka dalam pembangunan negeri,” ujarnya.
Selain Tamilarasan, dua lagi pelajar UPM turut terpilih sebagai perwakilan, iaitu pelajar Bacelor Pendidikan Sains Pertanian dengan Kepujian, FakultiAhmad Nor Shahmin, dan pelajar Bacelor Kejuruteraan Aeroangkasa dengan Kepujian, Ismail Hakim.
Penyertaan cemerlang pelajar UPM dalam pemilihan ini mencerminkan komitmen serta kesediaan golongan muda untuk tampil sebagai pemimpin masa depan yang berwibawa, menyuarakan pandangan serta menyumbang secara konstruktif dan inklusif kepada pembangunan negeri.
Turut hadir, Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Ahmad Shamil Mohamed.