?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Penerima BYDPA 2025 impi jadi pakar bioteknologi, pacu inovasi makanan untuk negara

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 21 Julai – Penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2025, Tiew Siew Jin, yang juga pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) berhasrat menjadi pakar bioteknologi dan menyumbang kepada pembangunan teknologi makanan berasaskan sumber semula jadi tempatanan memacu inovasi dalam teknologi makanan negara.

 

Tiew, 26, yang berasal dari Sibu, Sarawak, kini sedang mengikuti pengajian Master Sains Bioteknologi Makanan di UPMS, Bintulu, Sarawak, berkata membesar dalam keluarga petani telah membuka matanya terhadap pelbagai cabaran dalam pengeluaran makanan.

 

“Ini adalah antara faktor yang mencetus minat saya untuk menceburi bidang bioteknologi makanan dan menyumbang kepada penyelesaian inovatif dalam industri makanan tempatan,” katanya.

 

Anak sulung kepada pasangan petani itu percaya bahawa setiap individu mempunyai peranan penting dalam membina negara yang lebih maju, sejahtera dan lestari.

 

“Impian saya adalah untuk membantu Malaysia menjadi peneraju dalam teknologi makanan berasaskan sumber semula jadi dan percaya kajian saya mampu memberi impak besar dalam dua aspek utama iaitu kesihatan awam dan pembangunan dasar agromakanan negara,” katanya

 

Tambah beliau, kajian penyelidikannya memfokuskan kepada sagu, sejenis tanaman tempatan Sarawak yang kaya dengan kanji tahan dan kini sedang menjalankan kajian klinikal bagi menilai sifat prebiotik dalam formulasi makanan berasaskan kanji sagu.

 

“Fokus utama kajian saya ialah potensi kanji sagu sebagai bahan makanan berfungsi, khususnya dalam penghasilan produk makanan yang mempunyai ciri prebiotik dan menyumbang kepada kesihatan usus,” katanya.

 

Beliau berkata, dari segi kesihatan, sagu yang tinggi dengan kanji tahan dan prebiotik boleh menyokong kesihatan usus membantu mengawal paras gula dalam darah serta mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit seperti obesiti dan diabetes.

“Dari sudut ekonomi ia boleh memperkukuh industri sagu tempatan, khususnya di Sarawak sebagai pengeluar utama sagu negara,” katanya.

 

Tiew berkata, inisiatif tersebut turut selari dengan matlamat negara untuk mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, memperkukuh sumber makanan tempatan dan membangunkan industri agro-makanan berasaskan sumber asli.

 

Menyentuh mengenai penganugerahan BYDPA 2025, beliau menyifatkan ia sebagai satu pengiktirafan tertinggi dan tidak pernah terjangka akan menerimanya.

 

“Kegembiraan ini bukan hanya milik saya seorang, malah seluruh keluarga dan penyelia yang sentiasa menyokong saya. Anugerah ini menjadi pemangkin semangat untuk terus komited dalam bidang penyelidikan dan menyumbang kepada pembangunan negara melalui ilmu dan kepakaran yang saya miliki,” katanya.

 

Baginya, anugerah itu bukan sekadar biasiswa, tetapi satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul.

 

“Ia mengingatkan saya bahawa ilmu yang saya pelajari bukan untuk diri saya sendiri semata-mata, tetapi untuk dimanfaatkan demi kebaikan masyarakat,” katanya.

 

Beliau turut berkongsi bahawa pengalaman menghadiri temu duga BYDPA merupakan satu proses mencabar namun sangat bermakna.

 

“Saya menyediakan proposal penyelidikan yang jelas dan relevan kepada pembangunan negara serta memperdalam kefahaman tentang isu-isu dasar dan penyelidikan semasa,” katanya.

 

Beliau turut menitipkan nasihat buat pelajar di UPM yang ingin mencuba memohon BYDPA agar terus berusaha dan percaya pada potensi diri sendiri.

 

“Percayalah pada diri sendiri. Rezeki tidak pernah salah alamat dan akan tiba tepat pada waktunya. Teruskan usaha, jangan takut mencuba dan sentiasa mohon restu serta doa daripada ibu bapa.

 

“Kejayaan sebenar bukan hanya pada pencapaian, tetapi pada keupayaan kita memberi kembali kepada orang lain dan menyumbang kepada negara,” katanya.

WYHVXAi~