INDONESIA, 6 September – Program Mobiliti Outbound yang dianjurkan oleh Jabatan Matematik dan Statistik, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Fakultas Matematika dan Ilmu Pengetahuan Alam (FMIPA), Universitas Hasanuddin (UNHAS), Makassar, Indonesia telah memperkukuh jalinan akademik serta memperluas kolaborasi antarabangsa antara kedua-dua institusi.
Program yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September 2025 itu disertai oleh 22 orang pelajar UPM, melibatkan pelbagai aktiviti akademik, sosial, kebudayaan dan komuniti yang berimpak tinggi.
Menurut Pengarah Projek, Prof. Dr. Norihan Md Arifin, program ini memberi peluang kepada pelajar UPM untuk menimba pengalaman pembelajaran holistik di peringkat global melalui penglibatan langsung dalam aktiviti bersama pelajar dan pensyarah UNHAS.
“Sepanjang program, para pelajar menghadiri kuliah bersama pelajar UNHAS serta menyertai seminar ilmiah bersama pensyarah kedua-dua institusi. Sesi ini membincangkan hasil penyelidikan terkini dan meneroka potensi kolaborasi baharu dalam bidang Matematik, Statistik dan Kecerdasan Buatan (AI).
“Selain itu, enam orang mahasiswa, tiga dari UPM dan tiga dari UNHAS turut membentangkan cadangan penyelidikan masing-masing. Inisiatif ini bukan sahaja mengasah kemahiran penyelidikan, malah menggalakkan wacana ilmiah dan pertukaran idea merentas sempadan negara,” katanya.
Beliau menambah, para pelajar turut berpeluang mengikuti lawatan akademik dan budaya ke Muzium Balla Lompoa dan Fort Rotterdam bagi mendalami sejarah serta warisan budaya Makassar.
“Program mobiliti ini bukan sahaja mencapai objektif akademik yang digariskan, malah berjaya memperkukuh hubungan strategik antara UPM dan UNHAS. Ia menjadi wadah penting bagi mahasiswa memperluas horizon akademik, memupuk nilai kepimpinan, meningkatkan kefahaman silang budaya serta menanam semangat kebersamaan sebagai warga global,” jelasnya.
Timbalan Rektor (Jalinan Kerjasama, Inovasi, Keusahawanan dan Perniagaan) UNHAS, Prof. Dr. Eng. Adi Maulana, S.T., M.Phil berkata, kepentingan usaha sama antara UPM dan UNHAS adalah sebagai platform strategik untuk memperkukuh jaringan akademik, memperluas bidang penyelidikan serta mempererat hubungan persahabatan antara kedua-dua institusi.
Dalam pada itu, program ini mencerminkan komitmen UPM dalam memperkukuh jaringan antarabangsa melalui kolaborasi akademik yang dinamik dan berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi universiti sebagai Universiti Pertanian Malaysia bertaraf dunia yang mendukung pembelajaran rentas sempadan.