SERDANG, 21 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), hari ini meraikan World Wood Day 2025 (WWD 2025) yang bertemakan “Sustainable Living With Wood”, sebagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dan penghargaan terhadap kayu sebagai sumber semula jadi yang lestari dan mesra alam.
Pengerusi WWD 2025, Dr. Paiman Bawon, berkata sambutan ini diharap dapat memperkukuh hubungan antara industri dan akademia serta menyemai budaya kelestarian kayu dalam kalangan generasi muda. FHAS UPM mengetengahkan peranan penting industri kayu dalam pembangunan mampan, selain menonjolkan kreativiti serta inovasi dalam penghasilan produk berasaskan kayu.
“Sambutan ini mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta memartabatkan peranan kayu dalam kehidupan moden. WWD 2025 bukan sahaja memperkenalkan semula nilai serta potensi kayu kepada masyarakat umum, malah merapatkan kerjasama antara komuniti, penyelidik dan pemain industri ke arah masa depan yang lebih hijau dan mampan,” katanya.
Antara rakan strategik yang terlibat dalam sambutan ini ialah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Malaysian Timber Council (MTC), Persatuan Pengusaha Kayu-kayan dan Perabot Bumiputera (PEKA), Hasanuddin University, Indonesia (UNHAS) dan Institute of Bast Fiber Corp, China Academy of Agricultural Sciences, China.