?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

UPM anjur PKMK 2025, bincang hala tuju dasar pertanian dan keterjaminan makanan negara

 

SERDANG, 10 Jun – Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan (PKMK2025) anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), berjaya menghimpunkan seramai 686 peserta bagi membincangkan hala tuju dasar pertanian serta keterjaminan makanan negara.

 

Persidangan yang mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, hari ini.

 

Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan QarboGrow yang merupakan penyelidikan antara UPM dan Syarikat Qarbotech Sdn. Bhd. iaitu inovasi penggalak fotosintesis oleh Penyelidik Fakulti Kejuruteraan dan Institut Nanosains dan Nanoteknologi UPM, Prof. Ir. Ts. Dr. Suraya Abdul Rashid.

 

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, penganjuran PKMK 2025 merupakan kesinambungan kejayaan edisi terdahulu dan menjadi platform terbaik untuk membincangkan isu-isu semasa serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.

 

“UPM beriltizam untuk terus memacu kecemerlangan dalam bidang pertanian, teknologi makanan dan keterjaminan makanan. Universiti komited membantu kerajaan menangani isu ketidakstabilan bekalan makanan serta kenaikan harga yang memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya.

 

Beliau turut berkata UPM telah menubuhkan NEXUS@UPM, sebuah pusat koordinasi strategik yang berperanan sebagai pemikir utama dalam bidang pertanian masa depan serta keterjaminan makanan negara.

 

 

“Melalui pendekatan berasaskan bukti, teknologi dan inovasi sosial, NEXUS@UPM memastikan setiap dasar dan program berkaitan keterjaminan makanan dilaksanakan secara mampan, adil dan berimpak tinggi,” katanya.

 

Pengarah ITAFoS UPM, Prof. Dr. Anjas Asmara@Ab. Hadi Samsudin berkata, persidangan ini mengukuhkan kolaborasi antara institusi awam, swasta, industri dan komuniti selain meneroka potensi penyelidikan serta produk agromakanan yang lestari dan berimpak tinggi.

 

“Ini sekali gus memperkukuh UPM sebagai pusat rujukan utama dalam bidang inovasi keterjaminan makanan, perladangan lestari dan pengembangan pertanian tropika, yang menyumbang kepada pembentukan sistem agromakanan negara yang lebih mampan dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.

 

PKMK 2025 telah menarik penyertaan pelbagai pihak termasuk penggubal dasar, ahli akademik, penyelidik, agensi kerajaan, NGO, usahawan, pelajar siswazah serta pemain industri makanan dan pertanian.

 

Dalam pada itu, PKMK2025 dijangka menarik kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk penggubal dasar, ahli akademik, penyelidik, agensi kerajaan, NGO, usahawan, pelajar siswazah serta pemain industri makanan dan pertanian.

 

 

Antara pengisian utama persidangan antaranya, ucapan dasar dan sesi plenari iaitu Perkongsian ilmu dan penyelidikan terkini berkaitan pertanian dan keterjaminan makanan.

 

Selain itu, pembentangan hasil penyelidikan dan sesi forum panel yang membincangkan mengenai isu semasa, cabaran serta hala tuju dasar pertanian dan keterjaminan makanan negara.

 

Penganjuran PKMK2025 turut mendapat sokongan sektor korporat, Aliyah Rizq Sdn. Bhd. tampil sebagai penaja utama dengan sumbangan sebanyak RM50,000.

WYGLMAP~