?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

UPM, JKR Sabah dan Petronas Teroka Kerjasama Teknologi Bitumen Kitar Semula

Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad
Wartawan Pelatih
Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM

Foto Oleh: Mozaid Idris



SERDANG, 12 Jun – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima lawatan kerja delegasi Kementerian Kerja Raya Sabah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, hari ini.

Delegasi itu disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UPM, Prof. Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin di Fakulti Kejuruteraan, UPM membincangkan kerjasama strategik dalam penyelidikan berkaitan teknologi Recycled Plastic Modified Bitumen (RPMB), satu inisiatif yang memanfaatkan sisa plastik bagi menghasilkan bitumen lebih tahan lama, mampan dan ekonomik untuk kegunaan prasarana jalan raya.

Prof. Ir. Dr. B.T. Hang Tuah berkata kunjungan ini memberi suntikan semangat buat UPM untuk terus mengukuhkan keterlibatan bersama industri dan kerajaan dalam menyelesaikan isu semasa, termasuk pengurusan sisa plastik negara.

“UPM sentiasa menghasilkan produk penyelidikan yang bermanfaat, namun cabaran utama adalah bagaimana untuk mengkomersialkannya. Saiz pasaran yang kecil dan jenama tempatan yang kurang dikenali sering menjadi kekangan,” katanya.



Beliau menambah, penyelidik UPM mampu menyumbang lebih dari sekadar bidang akademik, malah bersedia menjadi rakan strategik dalam menyelesaikan masalah negara.

Datuk Ir. Shahelmey pula menekankan kepentingan kolaborasi tiga pihak, JKR Sabah, Petronas Research Sdn. Bhd. dan UPM dalam membina prasarana jalan raya yang lebih lestari dan berdaya saing.

“JKR perlu sentiasa beradaptasi dengan teknologi baharu. Kolaborasi ini penting bukan sekadar untuk penyelidikan, tetapi juga memberi manfaat langsung kepada masyarakat dan pembangunan negeri,” ujarnya.

Turut hadir, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Ir. Dr. Mohd Zainal Abidin Ab Kadir, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Dr. Fazirulhisyam Hashim, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam, Prof. Madya Dr. Fauzan Mohd Jakarni, Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Prof. Madya Ir. Dr. NorHafiz Azis, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Research Sdn. Bhd., Ir. Norhayati Hashim serta pegawai-pegawai dari Kementerian Kerja Raya Sabah, Jabatan Kerja Raya Sabah dan Petronas Research Sdn. Bhd.

WYGNRAz~