?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

UPM koordinasi ‘Sounds of Malaysia’ sempena penutupan Festival of Ideas 2025

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto: Muhammad Syuqqree Mohd Dain

 

PUTRAJAYA, 8 November – Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta kejayaan apabila diberi mandat oleh Istana Budaya dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai penyelaras utama persembahan “Sounds of Malaysia” (SOM) bersempena malam penutupan Festival of Ideas (FOI) 2025 di Putrajaya, semalam.

 

Persembahan gilang-gemilang yang menghimpunkan lebih 120 bakat pelajar dari 12 universiti awam dan swasta itu menjadi kemuncak kepada festival yang berlangsung selama lima hari, menampilkan gabungan muzik, tarian dan vokal merentasi pelbagai genre termasuk klasik, pop, irama Malaysia dan balada.

 

Pengarah Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM, Husalshah Rizal Hussian, berkata mandat yang diberikan oleh Istana Budaya dan KPT kepada UPM merupakan pengiktirafan besar terhadap keupayaan universiti dalam menyelaras produksi seni bertaraf nasional serta melahirkan bakat baharu di peringkat universiti.

 

“Kami amat berbangga apabila diberi kepercayaan untuk menyelaras pemilihan bakat dari universiti awam seluruh negara dan membawa mereka ke pentas ini. Ia membuktikan bahawa UPM bukan sahaja unggul dalam bidang akademik, tetapi turut menjadi hab pembangunan seni dan budaya,” katanya.

 

Beliau berkata, proses pemilihan bakat dilakukan secara dalam talian sebelum peserta mengikuti latihan intensif selama tiga hari di Istana Budaya menjelang persembahan kemuncak.

 

“Pemilihan lagu dan persembahan dikendalikan oleh pihak Istana Budaya, manakala UPM bertanggungjawab memastikan kelancaran keseluruhan produksi serta penyelarasan peserta. Persembahan ini bukan sekadar hiburan, tetapi simbol kreativiti dan perpaduan pelajar pelbagai latar belakang,” ujarnya.

 

Persembahan tersebut turut diserikan dengan kehadiran artis terkenal tanah air termasuk Aina Abdul, Khai Bahar dan Liza Hanim, di samping kumpulan tarian Adimastuli serta artis residen UPM yang terdiri daripada staf dan pelajar universiti berkenaan.

 

Husalshah Rizal berkata, kerjasama strategik dengan Istana Budaya itu diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh jaringan profesional dan memperluas ruang pementasan bakat pelajar di peringkat nasional.

 

“Kolaborasi ini membuka peluang besar kepada pelajar untuk menonjolkan bakat, selain memperkukuh kelestarian seni dan warisan yang menjadi sebahagian identiti UPM,” katanya.

 

Sementara itu, Artis Budaya UPM, Nor Ilmie Nazarudin atau lebih dikenali sebagai Jimmy, menyifatkan pengalaman membuat persembahan di pentas FOI sebagai satu penghormatan besar.

 

“Selama ini saya hanya membuat persembahan di universiti. Peluang ini memberi pendedahan baharu untuk bekerjasama dengan pemuzik dan penyanyi dari pelbagai universiti,” katanya yang mempersembahkan medley lagu ‘Ghazal Untuk Rabiah’, ‘Lagu Jiwa Lagu Cinta’ dan ‘Bagaikan Sakti’ bersama pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

 

Pelajar Tahun Kedua Bacelor Sains Pertanian, Fakulti Pertanian UPM, Nhavinish Kumar, turut berkongsi rasa teruja selepas diberi peluang menyampaikan lagu “Getaran Jiwa” di pentas berprestij itu.

 

“Saya amat berterima kasih kepada pihak UPM kerana memberi ruang untuk menyerlahkan bakat yang sebelum ini hanya dapat ditonjolkan dalam pertandingan dalaman universiti,” katanya.

 

Program “Sounds of Malaysia” menjadi antara penutup paling berwarna-warni dalam sejarah penganjuran Festival of Ideas dengan gabungan kreativiti, kepelbagaian budaya dan semangat kebersamaan mahasiswa seluruh negara, memperlihatkan peranan universiti sebagai pemacu warisan seni dan inovasi masa depan.

WYLVMAl~