SERDANG, 28 Nov – Tiga graduan anak yatim hari ini konvo serentak pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-47 Sidang 2 Tahun 2023 pada hari ini terus bersemangat menuntut ilmu walaupun ketiadaan ibu bapa tercinta di sisi.
Graduan Bacelor Sains Akuakultur dengan Kepujian, Fakulti Pertanian, UPM, Fatin Fadhlina Mat Desa, 25, beliau kehilangan bapa tercinta Mat Desa Mat ketika beliau darjah 4 dan ibunya Ramelah Said akibat kanser usus pada tahun 2022.
“Sejujurnya pada mulanya saya tidak dapat menerima kehilangan ibu saya kerana beliau adalah antara pemangkin semangat saya untuk meneruskan pengajian dan adalah keinginan arwah ibu untuk melihat salah seorang anaknya memperoleh segulung ijazah,” katanya.
Dalam pada itu beliau mengulas pandangan mengenai program pengajiannya yang boleh memberi manfaat dalam industri maritim bagi memenuhi keperluan sektor pertanian masa kini.
“Saya akui tidak ramai yang mengetahui mengenai bidang ini namun sebenarnya program pengajian ini didedahkan dengan kemahiran teori dan praktikal dalam bidang akuakultur dan kepentingan sejagat dalam isu keterjaminan makanan,” katanya.
Bagi graduan Bacelor Sains Biologi dengan Kepujian, Fakulti Sains, UPM, Noor Farah Adilah Mat Yusof, menceritakan detik kehilangan ibu bapanya, Mat Yusof Mohd Nor dan Jahara Harun pada tahun 2018.
“Arwah ibu meninggal akibat kanser paru-paru pada awal tahun 2018 dan kemudiannya arwah ayah meninggal secara tiba-tiba pada pertengahan tahun 2018 dan kehilangan mereka telah memberi kesan pada diri saya,” katanya.
Namun, Noor Farah Adilah memilih untuk memotivasikan dirinya dengan melakukan perkara yang positif antaranya menyambung pengajian ke peringkat tinggi demi menjamin masa depan yang utuh.
“Di awal semester saya mengalami kesusahan dari segi kewangan untuk membayar yuran pengajian saya namun saya bersyukur ibu bapa saudara banyak membantu menyalurkan bantuan kewangan sehingga semester kedua saya berjaya mendapat biasiswa dari Kuok Foundation Berhad,” katanya
Sementara itu, graduan Bacelor Sains Statistik dengan Kepujian, Fakulti Sains, UPM, Nurul Islam Abdullah, 23, kehilangan kedua ibu bapanya pada umur yang kecil.
“Saya kehilangan ibu Sarimah Zakaria akibat sakit buah pinggang ketika dia berusia 3 tahun dan kehilangan ayah Abdullah Ahmad Nasruddin akibat angin ahmar ketika dia berusia 8 tahun dan saya bersyukur kedua orang kakak saya menjaga saya walaupun mereka ketika itu tidak mempunyai kerja tetap,” katanya.
Sepanjang perjuangan dalam pengajiannya beliau tidak pernah sekali fikir untuk berputus asa kerana ingin membuktikan bahawa status anak yatim tidak menjadi penghalang kejayaan dalam mengejar ilmu.
“Antara perkara yang saya akan ingati sampai akhir hayat iaitu pengorbanan kakak beliau mendapat tawaran sambung belajar dan menggunakan duit pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menanggung saya,” katanya.
Rezeki kini berpihak pada Nurul Islam apabila beliau berjaya mendapat pekerjaan sebagai Pegawai Eksekutif Pemasaran di sebuah syarikat swasta dan berhasrat untuk membalas segala jasa dan kebaikan kepada kakak-kakaknya iaitu Nurul Ehsan dan Nurul Iman.