?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

“Dulu Saya Anggap Biasa, Rupanya Pekak” – Aqif Jejak Impian di UPM

Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari

 

 

SERDANG, 11 Julai - Meskipun menyedari kekurangan sejak kecil, seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) pendengaran tetap cekal melangkah ke Pusat Asasi Sains, Universiti Putra Malaysia (ASPutra) demi mengejar cita-cita dalam bidang perubatan.

 

Aqif Aqashah Hamidi, pelajar Program Asasi Sains Pertanian dan anak sulung daripada empat adik-beradik, hanya disahkan mengalami masalah pendengaran sebelah kiri ketika di Tingkatan Tiga selepas bertahun-tahun bergelut memahami perbualan seharian.

 

“Saya selalu rasa kurang dengar apabila orang bercakap, tapi saya anggap itu biasa. Bila saya luahkan kepada ibu bapa dan jalani pemeriksaan, doktor sahkan saya pekak sebelah kiri,” katanya yang memperoleh 8A dalam SPM dan kini memakai alat bantuan pendengaran semasa belajar.

 

 

Aqif berkata kekurangannya bukan halangan untuk terus melangkah, malah menjadi dorongan untuk belajar bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita menjadi pakar onkologi.

 

“Saya memang minat biologi dan eksperimen sejak kecil. Saya nak bantu pesakit kanser suatu hari nanti dan saya yakin UPM ialah laluan terbaik untuk saya capai impian itu,” katanya.

 

Menurutnya, abang sepupunya yang juga pelajar UPM banyak memberi keyakinan bahawa program ini bukan sekadar berkisar tentang pertanian semata-mata, sebaliknya menawarkan ruang pengajian yang luas termasuk ke arah bidang perubatan.

 

“Pada mulanya saya fikir program ini cuma bidang berkebun, tapi selepas diberi penjelasan, saya mula nampak hala tuju yang lebih luas dan sesuai dengan minat saya,” katanya.

 

 

Ibunya, Zidnimaliah Zakaria, 44, berkata beliau berasa gembira dan bersyukur kerana anak sulungnya berjaya menempatkan diri di UPM dan berharap ia menjadi inspirasi kepada adik-beradiknya yang lain.

 

“Saya akan sentiasa sokong dan doakan yang terbaik buatnya. Saya harap Aqif boleh jadi contoh kepada adik-adik,” katanya.

 

Beliau turut menyifatkan UPM sebagai tempat yang sesuai untuk perkembangan anaknya selepas melihat sendiri komitmen pihak pengurusan yang turun padang menyantuni pelajar dan ibu bapa.

 

“Bila tengok pengarah sendiri turun padang, bagi nasihat dan beramah mesra, saya rasa yakin dan selamat untuk titipkan anak saya di sini. Saya anggap ini satu rezeki besar untuk dia,” katanya.

 

Untuk sesi akademik 2025/2026, ASPutra UPM telah menerima seramai 937 pelajar baharu yang mendaftar untuk meneruskan pengajian mereka di ASPutra.

 

Dengan fokus unik dalam bidang pertanian, ASPutra bukan sekadar membuka pintu kepada pendidikan tinggi, malah menjadi pemangkin lahirnya generasi muda yang bersedia menerajui transformasi sektor pertanian negara secara lestari dan berdaya saing.

WYHLTAQ~