
Oleh: Noor Eszereen Juferi
LANGKAWI, 11 November – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti bertaraf antarabangsa melalui pemeteraian Letter of Intent (LOI) dengan tiga universiti terkemuka dari Rusia, iaitu Kazan Federal University (KFU), National Research Nuclear University (MEPhI) dan Belgorod State Technological University (BSTU).
Majlis menandatangani LOI yang diadakan di Langkawi Convention Centre telah disaksikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Valery Falki mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi dan penyelidikan strategik.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Ir. Dr. Abd Rahim Abu Talib, berkata kerjasama ini sejajar dengan aspirasi universiti untuk memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi yang berimpak antarabangsa serta menyokong matlamat Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperluas diplomasi pendidikan.
“UPM sentiasa komited untuk memupuk hubungan strategik dengan rakan universiti antarabangsa bagi memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi. Jalinan bersama universiti berprestij Rusia ini akan membuka peluang baharu dalam bidang-bidang teras seperti sains bahan, teknologi nuklear, kejuruteraan serta pembangunan tenaga lestari,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama tersebut turut menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda Research, Development, Commercialisation and Innovation (RDCI) universiti serta memperkaya pengalaman global dalam kalangan warga UPM.
“Pemeteraian LOI ini merupakan satu lagi langkah signifikan dalam usaha UPM mengukuhkan jaringan globalnya, sekali gus menegaskan peranan universiti sebagai institusi penyelidikan utama yang menyumbang kepada kemajuan ilmu, teknologi dan kesejahteraan sejagat,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi LOI tersebut, UPM dan ketiga-tiga institusi berkenaan akan meneroka pelbagai bidang kerjasama termasuk projek penyelidikan bersama, pertukaran staf dan pelajar, serta perkongsian kepakaran dalam sains, teknologi dan inovasi.
Inisiatif ini diharap dapat memperluas jaringan akademik, memperkukuh keupayaan penyelidikan dan mempertingkat mobiliti akademik di peringkat global.





.jpg)
