
Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
SERDANG, 11 Oktober – Sebanyak 150 ekor ayam saga telah diserahkan kepada Kolej Sultan Alaeddin Shah (KOSASS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menampung permintaan terhadap ayam kampung baka tempatan serta menyokong inisiatif keterjaminan makanan universiti.
Pengetua KOSASS UPM, Prof. Madya. Dr. Amini Amir Abdullah berkata, penglibatan aktif felo blok dan Majlis Pengurusan Kolej (MPK) dalam projek ini mencerminkan keupayaan pelajar UPM untuk menjadi pemimpin berfikiran global namun bertindak secara lokal, dengan mengambil berat terhadap isu keterjaminan makanan yang kini menjadi agenda nasional.
“Kita mahu lihat KOSASS menjadi kolej perintis dalam usaha keterjaminan makanan universiti. Saya yakin dengan semangat dan dedikasi felo serta MPK, projek seperti ini bukan sahaja dapat diteruskan malah dikembangkan untuk manfaat warga kampus secara keseluruhan,” katanya.
Penternakan ayam saga di KOSASS ini turut menerima khidmat nasihat teknikal daripada MARDI, bagi memastikan pengurusan baka dan sistem penternakan dijalankan mengikut amalan terbaik.
Sementara itu, Ketua Projek Gempur Tani KOSASS 2025/2026, Muhammad Humam Mohamad Amran berkata, objektif projek ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar terutama dalam kalangan generasi muda (Gen Z) mengenai konsep kelestarian dan keterjaminan makanan.
“Kita nak sampaikan kepada pelajar bahawa keterjaminan makanan penting supaya kita tidak terlalu bergantung kepada import dari luar. Melalui projek ini, mereka akan belajar bagaimana ayam diternak dari peringkat anak hingga menjadi produk utama.
"Projek ini juga dijangka menjadi model pendidikan berasaskan pengalamankepada pelajar, di samping memperkukuh kesedaran terhadap peranan komuniti kampus dalam memperkasa agenda keterjaminan makanan negara," ujarnya.





.jpg)
