?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Penyelidik UPMS perkenalkan “Mandi Embun” ke pentas global di Korea Selatan

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

 

SERDANG, 13 November – Penyelidik Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), Dr. Keeren Sundara Rajoo memperkenalkan amalan tradisional “Mandi Embun”, satu bentuk terapi berasaskan alam yang berpaksikan kearifan tempatan ke peringkat antarabangsa dalam forum bertemakan “Forests for Health, Happiness and Well-being” di World Forum on Forest Therapy 2025 (WFoFT 2025) di Korea Selatan, baru-baru ini.

 

Forum yang bertemakan “Forests for Health, Happiness and Well-being” itu menghimpunkan peserta daripada lebih 30 negara, termasuk tokoh utama seperti Presiden Korea Forest Therapy Forum, Profesor Shin Won-Seop, yang juga bekas Menteri Perkhidmatan Perhutanan Korea dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perhutanan FAO.

 

Dr. Keeren yang juga Ketua Makmal Biodiversiti Borneo, Institut EkoSains Borneo (IEB) berkata, amalan Mandi Embun mencerminkan kefahaman awal masyarakat terdahulu terhadap manfaat fizikal dan mental hasil interaksi dengan alam, selari dengan prinsip saintifik terapi hutan masa kini.

 

“Hutan kita sejak dahulu menjadi tempat penyembuhan jasmani, emosi dan rohani. Dengan menimba pengalaman daripada kejayaan Korea Selatan dalam memperkukuh terapi hutan, kita mampu membentuk model tersendiri yang meraikan biodiversiti serta warisan budaya Malaysia sambil meningkatkan kesejahteraan komuniti,” katanya.

 

Tambah beliau, model terapi hutan di Korea Selatan merupakan antara yang paling mapan di dunia dengan sokongan institusi dan penglibatan komuniti yang kukuh.

 

“Saya berhasrat menyesuaikan pengalaman ini dengan konteks Malaysia yang kaya dengan landskap tropika, warisan tradisi dan nilai komuniti,” katanya.

 

Dalam forum tersebut, beliau turut memperkenalkan buku terbaharunya berjudul Terapi Hutan dalam Konteks Malaysia, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

 

“Buku itu menyorot amalan penyembuhan tradisional berasaskan alam semula jadi di Malaysia serta kaitannya dengan konsep terapi hutan moden, termasuk amalan Mandi Embun, iaitu aktiviti menikmati embun pagi di hutan sebagai rawatan semula jadi yang dikatakan turut diamalkan oleh pahlawan Melayu legenda, Mat Kilau,” katanya.

 

Selain itu, penyertaannya disokong melalui Projek Glocal University 30, hasil kerjasama penyelidikan antara UPM dan Universiti Kebangsaan Chungbuk, Korea Selatan, di bawah inisiatif Kementerian Pendidikan Korea Selatan.

 

“Projek ini bertujuan memperkukuh peranan universiti wilayah agar lebih berdaya saing di peringkat global melalui kolaborasi strategik dan perkongsian kepakaran antarabangsa,” katanya.

 

Selain sesi pembentangan akademik, peserta turut menyertai aktiviti seperti Konsert Penyembuhan Art Foré, Sesi Terapi Hutan Saenggeo Jincheon, serta lawatan ke Hutan Hwadam dan Pusat Terapi Hutan Buramsan, yang menonjolkan bagaimana seni, kesedaran minda dan reka bentuk lestari digabungkan dalam terapi hutan Korea.

 

Dalam pada itu, kerjasama antara UPMS dan Universiti Kebangsaan Chungbuk kini diperluas kepada bidang pemulihan ekosistem, terapi hutan tropika, dan kesejahteraan mampan, seiring dengan usaha kedua-dua institusi memperkukuh penyelesaian berasaskan alam semula jadi yang menghubungkan kesihatan manusia dengan pemuliharaan biodiversiti.

 

Ini bukan sahaja mengangkat warisan terapi hutan Malaysia ke pentas dunia, malah memperkukuh reputasi UPM sebagai institusi penyelidikan yang menerajui kesejahteraan berasaskan alam dan memperjuangkan integrasi ilmu tempatan dalam wacana global.

 

 

WYLQDAT~