?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Anak bongsu enam beradik hadir konvokesyen tanpa ibu bapa

Oleh: Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri

 

 

SERDANG, 2 Disember - Suasana sebak menyelubungi Majlis Konvokesyen Ke-49 Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila seorang graduan, Saiful Azlan Sharif, 24, tampil menerima ijazah tanpa kehadiran kedua-dua ibu bapa, sebaliknya ditemani adik-beradik yang menjadi tulang belakang hidupnya sejak kecil.

 

Anak bongsu daripada enam beradik itu menamatkan pengajian Bacelor Rekabentuk Perindustrian dengan Kepujian, Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), selepas melalui perjalanan penuh ujian apabila kehilangan bapa sewaktu berusia empat tahun dan kehilangan ibu ketika berada di tahun ketiga pengajian di UPM.

 

Namun, di sebalik kehilangan besar itu, Saiful berpegang kuat pada pesanan terakhir arwah ibunya.

 

“Ibu selalu berpesan, kalau ibu sudah tiada, jangan pandang ke belakang. Masa ibu sudah sampai, masa adik masih panjang dan banyak lagi yang perlu dibuktikan,” katanya.

 

Katanya, setiap kali berdepan rasa lemah, kata-kata itu kembali terngiang dan menjadi penguat semangat untuk meneruskan usaha sehingga berjaya menyarung jubah konvokesyen.

 

Saiful mengimbas kembali perjalanan akademiknya yang penuh cabaran. Walaupun cemerlang di sekolah rendah, prestasinya merosot pada peringkat menengah rendah sehingga guru-guru hilang kepercayaan terhadapnya selepas keputusan PT3 yang tidak memuaskan. Namun, keadaan itu menjadi titik kebangkitan buat dirinya.

 

“Saya rasa tercabar bila orang mula pandang rendah. Saya tekad untuk buktikan mereka salah. Alhamdulillah, saya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM dan berjaya mengubah persepsi orang sekeliling,” katanya.

 

Memilih untuk menyambung STPM atas faktor kewangan keluarga yang terbatas, Saiful menganggap laluan itu sebagai persiapan mental sebelum ke universiti. Namun, tempoh itu turut diuji dengan kesukaran apabila pandemik COVID-19 melanda, kakaknya diserang penyakit kencing tikus dan ditidurkan selama 11 hari, manakala ibunya mengalami strok dan turut ditidurkan hampir seminggu.

 

“Pembelajaran saya memang banyak terjejas ketika itu. Tetapi setiap kali rasa ingin menyerah, saya ingat bahawa saya belajar untuk ibu. Itu yang membuatkan saya mampu bertahan hingga ke akhirnya,” ujarnya.

 

“Janji ibu adalah untuk melihat saya menyarung jubah. Walaupun beliau tiada, abang dan kakak yang menyaksikan hari ini seolah-olah menyempurnakan janji itu bagi pihaknya. Itu yang paling menyentuh hati saya,” katanya.

 

Saiful turut merakamkan penghargaan kepada adik-beradik, rakan-rakan dan pensyarah yang sentiasa memberi dorongan sepanjang pengajian, terutama ketika beliau berdepan tekanan emosi akibat kehilangan insan tersayang.

 

Beliau turut menitipkan pesanan kepada pelajar lain yang sedang melalui pelbagai bentuk ujian hidup agar tidak mudah berputus asa.

 

“Setiap ujian yang datang bukan untuk melemahkan, tetapi untuk membantu kita lebih mengenali kekuatan diri. Kita mungkin rasa dunia tidak memihak kepada kita, tetapi langkah kecil yang kita ambil hari ini boleh menjadi kejayaan besar pada masa depan,” katanya.

WYMDAA3~