?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

'Ukir’ angkat warisan Pantai Timur sebagai fine dining Malaysia hasil kreativiti pelajar UPM

 

Oleh: Noor Eszeeen Juferi

Foto Oleh: Noor Azreen Awang

 

 

SERDANG, 23 Dis – Warisan rasa Pantai Timur diberi sentuhan kontemporari apabila 40 pelajar program Bacelor Sains Pengurusan dan Perkhidmatan Makanan dengan Kepujian (BSPPMdk) Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FSTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program semi fine dining bertema ‘Ukir’ menampilkan keupayaan generasi muda memartabatkan masakan Malaysia pada pentas profesional.

 

Program itu menjadi medan aplikasi sebenar kemahiran fine dining berteraskan Malaysian Cuisine dengan memfokuskan kepada keunikan bahan, teknik dan naratif Pantai Timur. Setiap hidangan dirangka berkonsep, diolah dengan teknik moden dan dipersembahkan mengikut piawaian industri.

 

Ketua Jabatan Pengurusan dan Khidmat Makanan, FSTM, UPM, Profesor Madya Dr. Ungku Fatimah Ungku Zainal Abidin, berkata penganjuran program itu memberi pendedahan menyeluruh kepada pelajar terhadap operasi fine dining yang sebenar, merangkumi dapur, perkhidmatan dan pengurusan.

 

“Program ini menyokong agenda sekuriti makanan melalui pendekatan pengurusan operasi yang efisien dan berasaskan sains dan pelajar bukan sahaja berkemahiran teknikal, malah berupaya menyumbang kepada kelestarian rantaian bekalan, pengurangan pembaziran makanan serta penggunaan data bagi mengoptimumkan pengeluaran,” katanya.

 

Penyelaras Program, Dr. Muhammad Rezza Zainal Abidin berkata, ‘Ukir’ direka berasaskan outcome-based education dan industry-driven learning yang menekankan pembelajaran realistik serta berimpak tinggi.

 

“Menerusi kursus FSM4309 Penyediaan Makanan dan Khidmat Layanan Komersial, pelajar diuji bukan sahaja dari aspek kemahiran teknikal, malah keupayaan membuat keputusan, menyelesaikan masalah dan bekerja secara berpasukan dalam peranan yang berbeza,” jelasnya.

 

Pelajar (BSPPMdk), FSTM, UPM, Fatin Nur Anisa Natasya Mahamad Suri, berkata pengalaman tersebut mencabar namun bermakna kerana menuntut persiapan menyeluruh seperti dalam industri sebenar.

 

“Program ini melatih kami berfikir sebagai profesional industri perkhidmatan makanan. Kami mengurus dapur sebenar, merancang menu berkonsep, mengawal kos, mengurus masa dan memimpin pasukan. Setiap keputusan perlu ada justifikasi, jadi kami benar-benar faham rasional di sebalik setiap tindakan,” katanya.

 

Rakannya, Dewi Ainur Syafiqa Amir Hamzah, berkata program itu membentuk disiplin kerja serta kefahaman terhadap struktur operasi yang sistematik.

 

“Setiap peranan ada tanggungjawab yang jelas dan kesilapan kecil boleh memberi kesan besar kepada keseluruhan operasi. Pengalaman ini menjadikan kami lebih teliti, peka dan bertanggungjawab sebagai persediaan sebelum melangkah ke industri berintensiti tinggi,” katanya.

 

Dalam pada itu, program ‘Ukir’ membuktikan keupayaan pelajar UPM menggabungkan ilmu, kreativiti dan warisan tempatan untuk mengangkat masakan Malaysia ke tahap fine dining yang lebih profesional dan berdaya saing.

WYMYUAq~