?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Pelajar UPM bangunkan aplikasi PutraPalate bantu pelajar akses makanan berkhasiat ikut bajet

Oleh: Noor Eszereen Juferi

Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari

 

SERDANG, 24 Disember – Sekumpulan pelajar tahun akhir, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan aplikasi mudah alih PutraPalate bagi membantu pelajar mendapatkan makanan berkhasiat pada harga berpatutan di sekitar kampus.

 

Aplikasi tersebut dibangunkan oleh tiga pelajar Bacelor Sains Komputer dengan Kepujian, Aqil Danish Mohammad Yusof, Nur Syafiqah Baidrol Azmee dan Muhammad Syakir Najmi Abu Bakar dengan fokus utama membantu pelajar mengenal pasti pilihan makanan berharga RM7 dan ke bawah di kafe sekitar UPM.

 

Aqil Danish berkata,  PutraPalate menghimpunkan senarai menu daripada kafe-kafe di dalam kampus serta memudahkan pelajar membuat pilihan makanan mengikut bajet harian mereka dan pelajar juga boleh menyemak maklumat menu yang tersedia secara terus melalui aplikasi tersebut.

 

“Selain membantu mencari makanan mampu milik aplikasi ini turut berfungsi sebagai alat pengurusan kewangan. Setiap transaksi makanan dan minuman boleh direkodkan bagi membolehkan pelajar menilai corak perbelanjaan sama ada masih terkawal atau telah melebihi bajet,” katanya.

 

Tambah beliau, idea pembangunan PutraPalate tercetus daripada pengalaman mereka sendiri sebagai pelajar yang melihat keperluan mendesak untuk mendapatkan makanan seimbang pada harga berpatutan di dalam kampus.

 

“Kami mahu aplikasi ini digunakan oleh semua pelajar bukan hanya segelintir, supaya urusan mendapatkan makanan yang sesuai dengan bajet menjadi lebih mudah dan sistematik,” katanya.

 

Selain itu, pada fasa awal, aplikasi PutraPalate telah diuji secara rintis melibatkan 10 pelajar UPM dan menerima maklum balas positif, khususnya dari segi kemudahan penggunaan serta panduan yang jelas kepada pengguna. Aplikasi ini turut mula digunakan di beberapa kolej kediaman UPM.

 

Aplikasi tersebut dibangunkan menggunakan platform tanpa kod, AppSheet, dan berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira seminggu.

 

Dalam pada itu, PutraPalate boleh digunakan oleh semua pelajar UPM kerana ia merangkumi kafe-kafe yang beroperasi di sekitar kampus. Mereka juga bercadang untuk mengembangkan aplikasi ini ke universiti-universiti lain pada masa hadapan.

WYMYUAZ~