?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Ibu atau Ijazah? Ujian berat buat Amalia di semester akhir

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

 

 

SERDANG, 2 Disember - Di saat rakan-rakan lain sibuk menyiapkan tugasan akhir semester, seorang graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Amalia Qasdina Kamal Azrul, 25, berdepan ujian paling berat dalam hidupnya apabila perlu pilih antara berada di sisi ibu yang diserang strok atau mengutamakan pengajian yang sudah hampir ke penghujung.

 

Anak sulung daripada lima beradik itu yang merupakan graduan Bacelor Pendidikan dalam Pendidikan Jasmani dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM, berkongsi bahawa beliau hampir berputus asa apabila ibunya disahkan mengalami minor stroke ketika keluarga sedang menyambut Aidiladha.

 

Kejadian itu berlaku ketika Amalia berada di tahun ketiga pengajian, sekali gus mengubah rutin hariannya sebagai seorang pelajar, kepada menggalas tanggungjawab besar menjaga ibu di hospital.

 

“Pada waktu rakan-rakan lain menyiapkan tugasan akhir semester, saya terpaksa meninggalkan kuliah selama seminggu untuk menjaga ibu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kemudian di pusat rehabilitasi. Dalam masa sama, saya tetap perlu menyiapkan tugasan serta projek tahun akhir,” katanya ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49, di sini, hari ini.

 

Amalia berkata, sepanjang tempoh itu, beliau dan kembarnya menyusun jadual secara bergilir-gilir untuk menjaga ibu, manakala ayah dan adik-adik datang melawat setiap minggu.

 

“Tekanan pada waktu itu memang sangat berat. Saya beberapa kali terfikir untuk berhenti belajar kerana tidak hadir ke kelas selama seminggu dan perlu mengejar tugasan kuliah dalam keadaan emosi yang tidak stabil.

 

 

“Saya akui pada satu tahap, saya rasa saya langsung tidak mampu mengimbangi tuntutan akademik dengan keperluan ibu yang memerlukan perhatian sepenuhnya,” ujarnya.

 

Namun, di saat dirinya hampir tersungkur, hadir sokongan daripada pensyarah dan rakan-rakan yang menjadi ‘talian hayat’ untuknya terus bertahan.

 

“Pensyarah minta saya fokus pada ibu dahulu dan mereka membantu saya dengan berkongsi bahan pembelajaran yang tertinggal. Tanpa sokongan itu, saya mungkin tidak mampu bertahan,” katanya.

 

Amalia berkata, keprihatinan warga fakulti yang memberi kelonggaran, berkongsi nota serta memahami keadaannya membuatkan beliau sedar bahawa dirinya tidak melalui ujian itu seorang diri.

 

“Pada saat saya rasa dunia seakan runtuh, saya belajar bahawa masih ada tangan-tangan yang mengangkat saya kembali,” jelasnya.

 

Beliau turut berpesan kepada pelajar lain yang sedang berdepan situasi hampir sama supaya tidak berputus asa dan tidak takut untuk meminta bantuan apabila diperlukan.

 

“Saya ingin ingatkan rakan-rakan yang diuji dengan kesakitan keluarga atau tekanan hidup, jangan tanggung semuanya sendirian. Terima keadaan dengan sabar, cuba buat yang termampu dan jangan malu mendapatkan sokongan daripada pensyarah, rakan atau kaunselor,” katanya.

 

“Di UPM, saya benar-benar belajar erti pengorbanan, ketabahan dan menerima takdir dengan hati yang reda. Itu ‘ijazah kehidupan’ yang tidak tercatat di atas kertas, tetapi akan saya bawa sepanjang hayat,” katanya.

 

WYMDAAu~