PETALING JAYA, 30 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) menjalin kerjasama strategik dengan DKSH Sdn. Bhd. dalam usaha memperkukuh industri makanan haiwan kesayangan dan memperkasa pembangunan sektor veterinar negara. Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai dalam satu majlis yang berlangsung di Petaling Jaya.
MoU ini bertujuan memperkukuh kerjasama antara akademia dan industri dalam bidang perubatan veterinar, khususnya dalam industri makanan haiwan kesayangan serta pembangunan penyelidikan yang mampu merancakkan kemajuan sektor veterinar negara.
Menurut Dekan FPV, Prof. Dr. Goh Yong Meng, kolaborasi ini adalah langkah awal untuk membina rangkaian lebih menyeluruh dalam sektor veterinar, selari dengan keperluan industri semasa yang semakin mencabar. Beliau berkata, terdapat lebih 3,800 doktor veterinar berdaftar di seluruh negara.
“Kerjasama ini membuka ruang untuk membina kolaborasi yang lebih menyeluruh, bukan hanya dalam sektor makanan haiwan kesayangan tetapi juga aspek penting lain dalam bidang veterinar,” katanya.
Ketua Projek, Dr. Syamira Syazuana Zaini berkata, kolaborasi ini bukan hanya bertindak sebagai rakan industri tetapi juga sebagai penyumbang ilmu secara langsung kepada pelajar.
“DKSH turut menawarkan penajaan bagi Projek Tahun Akhir (FYP) pelajar Fakulti Perubatan Veterinar, yang merangkumi bukan sahaja sokongan kewangan, malah bimbingan, penyediaan data industri serta akses kepada produk dan teknologi terkini,” ujarnya.
Turut hadir juga, Pakar Kesihatan Hidupan Liar UPM, Prof. Madya Dr. Azlan Che’ Amat, Timbalan Pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS) yang juga merangkap Pensyarah & Pakar Pemakanan di Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof. Madya Dr. Hasliza Abu Hassim serta pegawai kanan fakulti.