?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Kursus Akuaponik dan Hidroponik: UPM Latih Pegawai AADK Bantu Klien Jana Pendapatan

Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: Md Nasir Hussin

 


SERDANG, 22 Julai - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah menganjurkan Kursus Akuaponik selama empat hari bagi melatih 14 pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam bidang pertanian moden, dengan penyelarasannya dikendalikan oleh Pegawai Pertanian UCTC, Nafisah Awang.

 

Kursus ini bertujuan meningkatkan kemahiran teknikal pegawai AADK untuk membantu klien melaksanakan projek pertanian berskala kecil sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan dan penjanaan pendapatan.

 

Timbalan Pengarah Bahagian Pengembangan Pertanian UCTC, Prof. Dr. Norsida Man berkata, penganjuran kursus ini sekaligus mengukuhkan kerjasama strategik UPM-AADK dalam memperkasa komuniti sasaran melalui pemindahan ilmu dan teknologi.

 

 

“Latihan ini merangkumi teori, teknik asas dan amali yang boleh terus diaplikasikan di peringkat komuniti,” katanya sambil memaklumkan bahawa UPM dan AADK telah menjalinkan kerjasama sejak tahun 2016 dengan lebih 18 program pembangunan komuniti dilaksanakan bersama.

 

Pensyarah Kanan Jabatan Akuakultur, Fakulti Pertanian UPM, Dr. Izharuddin Shah Kamaruddin pula berkata pendekatan praktikal membantu peserta menguasai sistem dengan lebih menyeluruh cara membina dan mengurus sistem akuaponik secara cekap dan berkesan.

 

“Kursus ini mendedahkan peserta kepada langkah sebenar bagaimana sistem akuaponik dibina dan dikendalikan dengan teratur,” jelasnya.

 

 

Sementara itu, Pegawai Puspen Tiang Dua, Aishah Ab. Ghani menyifatkan kursus ini sebagai satu peluang penting untuk mempelajari ilmu secara langsung daripada pakar dalam bidang berkaitan.

 

“Ilmu yang kami peroleh memberi keyakinan kepada kami untuk membimbing klien mengurus projek pertanian kecil, sekali gus membantu mereka membina semula kehidupan melalui sumber pendapatan sendiri,” katanya.

 

Inisiatif ini mencerminkan komitmen UPM dalam menyokong usaha agensi kerajaan melalui latihan berfokus yang menyumbang ke arah pemberdayaan komuniti secara menyeluruh.

WYHXJA~