Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 24 April – Majlis Sambutan Mega Raya Aidilfitri 2025 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) berlangsung meriah di seluruh kampus, menjadi medan memperkukuh silaturahim dan perpaduan dalam kalangan warganya hari ini.
Pendaftar UPM, Muhazam Mansor berkata, sambutan yang penuh warna-warni itu mencerminkan semangat kerjasama dan komitmen tinggi warga universiti dalam menjayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri secara bersama.
“Saya bersyukur melihat semua staf berganding bahu menghias lokasi masing-masing dan menyediakan pelbagai juadah. Keceriaan ini menjadi bukti eratnya hubungan serta perpaduan sesama warga UPM dan kita berharap tradisi ini dapat diteruskan,” katanya.
Dekan, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri, berkata sambutan serentak oleh semua PTJ sebagai satu tradisi yang wajar dikekalkan kerana ia membuka peluang untuk saling menziarahi dan merapatkan hubungan sesama rakan sejawat.
“Jarang ada program yang melibatkan seluruh warga kampus dalam satu masa dan ia bukan sahaja membina ukhuwah tetapi juga membolehkan staf mengenali rakan dari PTJ lain yang mungkin tidak pernah mereka kunjungi sepanjang berkhidmat di UPM,” katanya.
Sementara itu, Felo Perunding Fakulti Kejuruteraan, Prof. Ir. Dr. Ratnasamy Muniandy,berkata majlis ini merupakan waktu terbaik untuk memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan warga UPM sambil menikmati pelbagai kuih-muih tradisional Melayu yang jarang dinikmati dalam suasana harian.
“Saya berharap program seperti ini diteruskan agar semangat kekeluargaan dalam kalangan staf dan pensyarah UPM terus kukuh,” katanya.