???? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

UPM lancar pusat satelit China di Malaysia

Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar

 

 

SERDANG, 21 April- Universiti Putra Malaysia (UPM), melalui Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), dengan kerjasama Pingtan Institute of Xiamen University (XMUPT) merasmikan pusat satelit kampus itu di UPM yang dikenali sebagai UPM-XMUPT Malaysia Super Satellite Centre (MSSC) baru-baru ini.

 

Pelancaran MSSC ini menandakan komitmen berterusan UPM dalam memacu agenda pengantarabangsaan dan memperkukuh diplomasi akademik melalui kerjasama global yang bermakna.

 

Pusat ini berperanan menyelaras pelaksanaan program pesisir di XMUPT, menggalakkan projek bersama, serta menjadi hab koordinasi penyelidikan, inovasi dan pertukaran akademik dua hala.

 

Majlis perasmian ini disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.

 

 

Beliau berkata, pelancaran MSSC merupakan langkah besar untuk memperkukuh hubungan antarabangsa UPM dengan memanfaatkan kekuatan setiap pihak dalam kerjasama ini.

 

"Ini bukan sekadar MoU, tetapi tanda kepercayaan UPM untuk terus bergerak ke tahap yang lebih tinggi dalam usaha bersama ini," katanya.

 

Dekan SPE UPM, Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin berkata, MSSC bukan sahaja melambangkan pengukuhan hubungan strategik dengan XMUPT, malah membuka lembaran baharu dalam pencapaian akademik dua hala.

 

"Pusat ini bakal menjadi pemacu kepada penyelidikan berimpak tinggi, pertukaran budaya dan mobiliti akademik yang lebih menyeluruh antara kedua-dua institusi," katanya.

 

 

Sementara itu, Rektor XMUPT, Prof. Madya Dr. Lin Fan berkata, tema 'Nurturing Talent, Serving the Nation' yang diterapkan oleh UPM sangat selari dengan prinsip 'Pursuing Excellence, Striving for Perfection' Xiamen University, menjadikan kerjasama ini lebih bermakna.

 

“Dengan gabungan kekuatan dua institusi, kita mampu mendepani cabaran global dan menjadi model kerjasama pendidikan tinggi serantau,” ujarnya.

 

Kerjasama UPM-XMUPT dimeterai pada 28 April 2024, diikuti pelancaran pejabat satelit pertama UPM di China pada 12 Oktober 2024 lalu sebagai sokongan kepada usaha memperkasa pembelajaran sepanjang hayat di peringkat global.

WYEWSAr~