Oleh: Muhammad Nur Syazwan Wafiy Mohd Aseri

SERDANG, 5 Dis - Gelaran Naib Johan Mr. Elegance Malaysia 2023 bukan alasan untuk leka, sebaliknya menjadi pemangkin buat penggiat seni muda, Suryaamurthy Sathiamurthy, 21, untuk menggenggam Diploma Pembangunan Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM) demi masa depan sebagai ahli psikoterapi.
Bergraduat pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-49, anak kelahiran Johor Bahru itu membuktikan bahawa mahasiswa mampu mengimbangi pengajian dan kerjaya kreatif tanpa mengorbankan jati diri. Di saat rakan sebaya masih mencari haluan, Surya sudah mengukuhkan kedudukan sebagai artis serba boleh sambil menamatkan pengajian.
“Setiap kali saya menyanyi, saya rasa bebas. Di atas pentas, saya hanya perlu jadi diri saya,” katanya.
Keyakinannya dalam dunia seni melonjak apabila dinobatkan sebagai Naib Johan Mr. Elegance Malaysia 2023, pencapaian yang menjadi titik tolak penting dalam kariernya.
“Anugerah itu membuka mata untuk pergi lebih jauh dalam industri seni. Setiap peluang dalam industri ini mengajar saya bahawa bakat hanya akan berkembang kalau saya berani keluar dari zon selesa,” jelasnya.
Surya terus aktif mengasah bakat dengan deretan pencapaian lain, termasuk penyertaan dalam Malaysia Book of Records bagi persembahan nyanyian klasik berkumpulan, persembahan live band, pertandingan nyanyian antarabangsa serta penglibatan dalam rakaman album.
Di sebalik dunia glamor, Surya tetap berpijak di bumi nyata. Minat mendalam terhadap psikologi dan kesejahteraan emosi manusia mendorongnya memilih Diploma Pembangunan Manusia sebagai laluan akademik.
“Menyanyi memang buat saya gembira, tapi untuk masa depan, saya mahukan kerjaya yang kukuh dalam bidang psikoterapi,” tegasnya.
Bidang Pembangunan Manusia, katanya, membantu beliau memahami psikologi, komunikasi dan pengurusan masa
“UPM bukan hanya tempat belajar, tetapi tempat saya membentuk karakter sebagai artis yang berdisiplin. Apa yang saya belajar dalam kelas, saya bawa ke dunia sebenar cara berinteraksi, mengurus emosi dan komitmen,” katanya.
Mengulas cabaran yang dihadapi, Surya mengakui industri seni tidak seindah yang sering digambarkan.
“Tekanan jadual padat, penolakan demi penolakan serta keletihan mental pernah hampir melemahkan saya. Tapi kalau saya berhenti hari ini, saya takkan tahu sejauh mana saya boleh pergi esok,” ujarnya.
Di sebalik pencapaian yang diraih, sokongan kedua ibu bapanya, Sathiamurty, 48, dan Vasanthy, 52, menjadi tunjang utama kekuatan dirinya.
“Mereka sanggup kosongkan jadual walaupun ada kerja penting untuk hadir ke pertandingan nyanyian saya. Saya amat berterima kasih untuk sokongan yang tidak pernah putus ini,” katanya.






