Oleh: Noor Eszereen Juferi

SERDANG, 5 Disember - Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) diseru supaya tidak berhenti belajar meskipun telah menggenggam ijazah, sebaliknya terus memperkasa kemahiran, meneroka ilmu baharu dan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki demi kepentingan negara.
Naib Canselor UPM, Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, menegaskan bahawa kejayaan hari ini hanyalah permulaan kepada perjalanan lebih besar yang menuntut keberanian menghadapi cabaran dunia sebenar.
“Orang yang berjaya bukanlah mereka yang tidak pernah jatuh, tetapi mereka yang bangkit setiap kali rebah. Teruskan budaya pembelajaran sepanjang hayat agar kekal relevan dalam dunia yang dipacu teknologi dan inovasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49, Sidang 2, di sini hari ini.
Beliau berkata, graduan perlu melihat kegagalan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran, bukan titik noktah dalam kehidupan.
“Jangan gentar gagal. Setiap kegagalan membawa pelajaran baharu. Yang penting, saudara-saudari berani bangkit semula, memperbaiki kelemahan dan melangkah ke hadapan dengan lebih matang,” ujarnya.
Dalam ucapan itu, beliau turut menyeru graduan supaya menjadi agen perubahan yang membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara, bukan sekadar mengejar kejayaan peribadi.
“Harapan universiti ialah melahirkan graduan yang berkarakter, beretika dan menjunjung nilai budaya bangsa. Jadilah warga profesional yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran, tetapi juga mempunyai empati, integriti dan jiwa prihatin,” katanya.
Dato’ Profesor Ir. Dr. Ahmad Farhan turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Tuanku Canselor UPM, atas naungan dan kebijaksanaan baginda yang terus memacu universiti ke arah kecemerlangan bertaraf antarabangsa, serta merakam penghargaan kepada Pro-Canselor atas penyampaian pengurniaan ijazah.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pensyarah dan warga kerja UPM yang komited menyediakan pendidikan berkualiti serta menyokong perjalanan akademik para graduan sehingga ke hari konvokesyen.
“Kerja keras, ketabahan dan disiplin saudara-saudari selama ini akhirnya membuahkan hasil. Pastinya memori sepanjang bergelar mahasiswa akan menjadi antara kenangan terindah dalam hidup,” katanya.
Beliau menutup ucapan dengan keyakinan bahawa graduan UPM bukan sekadar penerima ijazah, tetapi bakal peneraju masa depan negara.
“Langkah saudara-saudari selepas hari ini akan menentukan wajah masa depan negara. Bawalah nama UPM dengan penuh kebanggaan, dan buktikan kepada dunia bahawa graduan universiti pertanian bertaraf global ini mampu mencipta impak di mana sahaja anda berada,” ujarnya.






