?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Jual biryani sara keluarga, Sathis rai kejayaan bergraduasi

Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim

 

 

SERDANG, 5 Disember - Kehidupan serba kekurangan, kehilangan bapa pada usia muda dan beban tanggungjawab keluarga tidak pernah dijadikan alasan oleh graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Sathis Rajendran, 24, untuk mengalah. Sebaliknya, segala ujian itu menjadi pemangkin sehingga beliau kini bergelar graduan Bacelor Pengajian Pengguna dengan Kepujian.

 

Anak bongsu dari sebuah keluarga sederhana itu membuktikan bahawa ketabahan dan disiplin dan kecekalan tekad mampu mengubah nasib hidup.

 

Sathis yang bekerja sebagai Product Executive di Maybank berkata, pemilihan bidang Pengajian Pengguna di Fakulti Ekologi Manusia, UPM, dibuat kerana minat mendalam terhadap tingkah laku pengguna dan bagaimana pasaran berfungsi dalam dunia sebenar.

 

“Bidang ini merupakan asas penting untuk memahami dunia perniagaan, pemasaran dan isu sosioekonomi. Ilmu pengguna sangat praktikal dan membantu membina masyarakat yang lebih berinformasi,” ujarnya.

 

Namun, perjalanan ke menara gading tidak mudah. Kehidupan Sathis berubah besar selepas kehilangan bapa pada tahun 2008. Ibu dan abangnya menjadi tulang belakang utama keluarga, tetapi dalam masa yang sama, kehilangan itu memaksa beliau memikul peranan lebih besar pada usia yang begitu muda.

 

“Saya tidak sempat menikmati zaman kanak-kanak seperti orang lain. Pengalaman ini menjadikan diri saya lebih matang, bertanggungjawab dan menghargai keluarga,” katanya.

 

Pengorbanan ibunya, Kalaivani Doraisamy, 64, menjadi sumber kekuatan yang tidak pernah pudar. Sathis masih mengingati bagaimana ibunya berjalan kaki ke tempat kerja setiap hari tanpa mengeluh, meskipun terpaksa meredah hujan dan panas.

 

“Setiap kali saya tengok ibu pulang dalam keadaan basah kuyup atau keletihan, hati saya sangat tersentuh. Waktu itu saya membuat keputusan besar untuk membeli kereta untuknya,” katanya.

 

Keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, namun Sathis tekad menjadikannya realiti. Beliau memulakan perniagaan kecil menjual briyani ketika pandemik COVID-19 bagi menambah pendapatan keluarga.

 

“Saya membeli kereta untuk ibu dengan hasil jualan perniagaan kecil saya iaitu menjual briyani yang bermula sejak zaman pandemik. Itu momen yang buat saya yakin bisnes ini boleh bantu tampung perbelanjaan rumah,” ujarnya.

 

Bagi Sathis, kejayaan tidak diukur sekadar pada pencapaian material atau jawatan tinggi.

 

“Kejayaan adalah apabila kita berada di tempat yang membolehkan kita memberi semula kepada masyarakat, menggunakan apa yang telah kita pelajari dan membuat perubahan walaupun kecil,” jelasnya.

WYMHGA~