?? | Universiti Putra Malaysia_OB体育

Hidayah tidak menyerah kalah demi sekeping Ijazah

Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin

 

SERDANG, 5 Disember - Berdepan tekanan kewangan, beban keluarga dan masalah kesihatan mental yang serius, tidak pernah menjadi alasan untuk Nur Hidayah Musa, 23, anak bongsu dari Pahang, berputus asa. Sebaliknya, semua ujian itu menjadi pemangkin hingga beliau berjaya menamatkan pengajian Bachelor Sains Pertanian dengan Kepujian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kelas pertama pada Majlis Konvokesyen UPM ke-49.

 

Berasal daripada keluarga berpendapatan sederhana, Hidayah berkata pinjaman PTPTN, bantuan zakat dan biasiswa yang membolehkannya meneruskan pengajian demi mengubah nasib keluarga.

 

“Ayah tidak mampu bekerja selepas diserang sakit jantung ketika saya di Tingkatan 1, manakala ibu bergantung pada hasil jualan kuih untuk menampung perbelanjaan harian kami sekeluarga,” katanya, mengimbas semula keadaan keluarga yang serba mencabar.

 

Beliau berkata, tahun pertama pengajian merupakan detik paling sukar apabila terpaksa bergelut dengan kekangan kewangan, komitmen latihan PALAPES, tekanan akademik serta isu keluarga sehingga menjejaskan kesihatan mental.

 

Keadaan itu memaksanya mendapatkan rawatan psikiatri selama tiga tahun dan berdepan episod kehilangan kawalan diri akibat tekanan melampau.

 

“Pada satu tahap, saya rasa seolah-olah semua perkara berlaku serentak. Kewangan tidak stabil, latihan PALAPES sangat mencabar, akademik pula menuntut banyak komitmen. Ia benar-benar menguji emosi dan mental saya,” ujarnya.

 

Akibat kesihatan yang semakin merosot, Hidayah terpaksa membuat keputusan berat untuk meninggalkan PALAPES dan pada masa sama bekerja sambilan sehingga lewat malam, termasuk sepanjang cuti semester, bagi menampung keperluan diri dan membantu keluarga.

 

“Ada masa saya hanya makan sekali sehari, namun tetap berulang-alik menunggang motosikal ke Subang dan Shah Alam untuk kerja tambahan sambil mengekalkan prestasi akademik sehingga meraih Dekan,” katanya.

 

Titik perubahan hadir pada tahun kedua apabila beliau berjaya memperoleh biasiswa, sekali gus mengurangkan beban kewangan dan membolehkannya memberi tumpuan lebih kepada pelajaran di samping meneruskan rawatan sehingga tahun akhir.

 

“Bila beban kewangan sedikit lega, saya dapat fokus lebih baik dalam kelas dan mula nampak impian saya makin dekat. Saya perlahan-lahan pulih dan belajar mengurus tekanan dengan lebih matang,” katanya.

 

Kini, selepas berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang, Hidayah melihat semula semua cabaran yang ditempuh sebagai proses pembentukan diri.

 

“Segala cabaran yang saya lalui inilah yang akhirnya menjadi kekuatan untuk saya menamatkan pengajian dengan cemerlang di UPM,” ujarnya.

WYMHGAV~